Bersatu mahu jawapan wakil rakyat dalam 14 hari



Bersatu mahu jawapan wakil rakyat dalam 14 hari
HAMZAH ZAINUDDIN
Oleh ARIF AIMAN ASROL
18 Mei 2024, 7:31 am

KUALA LUMPUR: Enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan soko­ngan kepada Perdana Menteri diberi tempoh 14 hari bermula semalam untuk menjawab ‘surat arahan’ jika tidak mahu keahlian mereka terhenti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, surat sama juga dise­rahkan kepada semua wakil rakyatnya.

Katanya, surat tersebut perlu dikembalikan bagi menyemak arahan yang diminta dilakukan oleh parti berkenaan.

“Tindakan yang kita ambil ini mengikut perlembagaan parti bahawa kita perlu mengambil beberapa langkah tertentu de­ngan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menentukan segala arahan boleh dikeluarkan selepas mereka menerima aduan kesalahan tertentu.

“Kemudian, kita memastikan surat arahan itu diterima oleh mereka dan dikembalikan kepada kita (parti) mengikut arahan yang tercatat di dalam surat itu. Surat ini telah dihantar melalui emel, kurier dan melalui tangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu, semalam.

Terdahulu, Bersatu membe­ritahu akan mengeluarkan notis berhubung status kedudukan enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu yang sepatutnya diadakan dalam masa terdekat, tetapi ditangguhkan untuk parti itu memberikan fokus pada PRK Kuala Kubu Bharu.


Hamzah berkata, arahan khusus atau tambahan diberikan kepada enam ahli Parlimen Bersatu yang menyatkan sokongan kepada Perdana Menteri perlu dijawab dalam tempoh 14 hari.

“Khusus kepada enam ahli Bersatu yang menyatakan soko­ngan kepada kerajaan, terdapat beberapa arahan tambahan yang diberikan untuk tindakan selanjutnya.

“Adalah diingatkan untuk ahli tersebut mengakui menerima dan mengesahkan pematuhan semua arahan dalam tempoh 14 hari dalam arahan tersebut dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan keahlian mereka terhenti dan dengan serta-merta menurut Fasal 10 (4),” katanya.

Beliau berkata, arahan yang diberikan adalah supaya ahli parti itu tahu bahawa mereka mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Bersatu.

“Tanggungjawab adalah untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar dan matlamat parti khususnya yang termaktub di bawah Fasal 9 1.

“Mereka juga perlu mengetahui bahawa kepimpinan Bersatu telah membuat ketetapan untuk tidak menyokong kerajaan serta mana-mana menteri besar atau kerajaan negeri yang tidak dipersetujui oleh Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Ulasan