‘DAP cerminlah diri sendiri’ – Syahir nasihat Lim


‘DAP cerminlah diri sendiri’ – Syahir nasihat Lim
May 22, 2024

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengingatkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng supaya tidak membuat tuduhan terhadap PAS dalam kes ugutan bunuh diterima Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau menggesa wakil DAP itu menghentikan segala bentuk provokasi dan spekulasi, serta menegaskan bahawa pihak polis pastinya lebih cekap untuk merungkai sebarang motif kes terhadap Teresa yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP.

“Jangan mudah menuduh PAS menyemai benih kebencian, apatah lagi menuding jari kepada Presiden PAS. Selagi belum ada bukti, janganlah mendahului siasatan pihak PDRM (Polis DiRaja Malaysia),” ujar Setiausaha Politik Presiden PAS itu.

Lim dalam ulasan kepada Malaysiakini menyifatkan ugutan diterima Teresa itu adalah dari bahaya politik toksik yang dikaitkan beliau dengan peranan dimainkan pemimpin PAS dalam menyemai kebencian terhadap DAP.

Perkara itu katanya, sehingga mengakibatkan minda yang mudah dipengaruhi menjadi radikal di mana DAP digambarkan dengan beberapa penyataan termasuk terbaharu daripada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut Lim pemimpin PAS dan yang lain mengeksploitasi dakwaan ‘tidak wajar dan tidak berasas’ itu untuk tujuan politik, namun tindakan itu boleh membawa kepada akibat yang teruk dan mengingatkan untuk tidak bermain api.

Beliau memberi reaksi demikian terhadap kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengumumkan solidariti PAS dan gesaan siasatan segera terhadap ancaman dihadapi oleh Teresa.

Syahir yang Penolong Setiausaha Agung PAS, turut menegaskan bahawa PAS tidak pernah merestui, apatah lagi mempengaruhi tindakan pelampau dan pengganas, malah jauh sekali melakukannya.

Sebaliknya tegas beliau yang memiliki pengalaman berkhidmat di Sime Darby itu, pendekatan PAS adalah mendidik, mengajak, dan memberikan peringatan, di mana segalanya mengikut lunas undang-undang dan proses demokrasi.

Pemimpin muda ini turut menggambarkan reaksi Lim dengan pepatah Arab yang bermaksud, ‘Dia yang memukul aku, tiba-tiba dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi aku, tiba-tiba dia pula yang mengadu’.

“Kami pun boleh berkata, apa yang dituai DAP hari ini, adalah benih yang disemai oleh Tan Sri Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh sebelum ini. Sejarah menjadi saksi. DAP cerminlah diri sendiri.

“Kepada YB Lip Lim Eng, saya tinggalkan satu pesanan, ‘you reap what you sow’. Janganlah disemai politik paranoid, politik toksik, politik parasit; di tanah yang sedang menghijau ini,” nasihatnya.

Pemimpin DAP telah berkali-kali menyatakan dan mengulangi kenyataan kontroversi berkaitan kaum, agama dan raja termasuk kepentingan negara yang mengundang reaksi kurang senang majoriti rakyat selama ini.

Antara mutakhir di era Madani ini adalah dari pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang yang membayangkan jawatan Perdana Menteri akan dipegang kalangan bukan-Melayu, juga gesaan mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai.

Juga Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mahu wakil bukan-Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Undang-undang Syariah di mana perkara tersebut dilihat sebagai satu campur tangan keterlaluan terhadap hal ehwal Islam.

Selain usaha Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk mendapatkan pengiktirafan kepada Kampung Baru Cina di seluruh negara sebagai Tapak Warisan UNESCO sedangkan banyak Kampung Tradisi Melayu diabaikan. – HARAKAHDAILY 22/5/2024

Ulasan