Dapatkah Kerajaan Perpaduan membina kejayaan dari Bursa Malaysia?

Dapatkah Kerajaan Perpaduan membina kejayaan dari Bursa Malaysia?
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
13 Mei 2024, 8:00 am

Permodalan pasaran saham Bursa Malaysia mencecah RM2 trilion, paras tertinggi pernah dicatatkan bursa pada 7 Mei lalu. Peningkatan modal pasaran itu sebahagian besar didorong pembelian oleh dana asing.

Pada hari sama, indeks pasaran saham tempatan itu melepasi tahap psikologi 1,600 mata, kali pertama dalam tempoh dua tahun. Nilai syarikat-syarikat yang tersenarai juga mencatatkan peningkatan.

Ada kaunter-kaunter yang telah meningkat lebih 300 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu. Berdasarkan analisis, modal pasaran 20 kaunter paling besar di Bursa Malaysia mencecah kira-kira RM929.5 bilion pada Jumaat lalu berbanding RM922.5 bilion minggu sebelumnya.

25 kaunter paling besar di Bursa Malaysia secara keseluruhan mempunyai nilai pasaran RM1 trilion atau separuh daripada keseluruhan nilai pasaran saham negara.

Kenaikan saham sejak beberapa bulan lalu seperti mini bull run yang membuatkan pelabur agak girang seperti ketika lonjakan pasaran pada 1990-an dahulu.

Permodalan pasaran bukan satu-satunya petunjuk kesihatan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi, keluaran negara kasar, inflasi, kos sara hidup dan pendapatan per kapita adalah petunjuk lain yang tidak kurang penting.


Kepada kebanyakan individu, keupayaan membeli keperluan harian lebih penting daripada segalanya. Harga ayam, ikan, beras, roti canai dan teh tarik lebih penting berbanding nilai pasaran saham.

Bagaimanapun, pasaran saham yang sihat masih penting kerana ia menunjukkan keyakinan pelabur terutama dari luar negara. Kemasukan dana asing mengukuhkan ringgit, menjadikan import lebih rendah, mengurangkan tekanan kepada inflasi import dan mengkayakan pelabur terutama institusi seperti KWSP dan PNB yang pemegang taruhnya adalah lebih separuh penduduk negara ini.

Kepada pelabur individu, ia mencipta kekayaan baru seperti mana bilionair yang memiliki saham terbesar dalam syarikat masing-masing. Pada kebanyakan masa kekayaan itu akan di­belanjakan dalam ekonomi tempatan.

Persoalannya dapatkah Kerajaan Perpaduan membina daripada kejayaan RM2 trilion pasaran saham ini kepada faktor ekonomi lain dan meyakinkan pengundi dalam tempoh kurang empat tahun lagi bahawa kerajaan ini harus diberikan kuasa pemerintahan lima tahun lagi?

Kebanyakan petunjuk ekonomi menunjukkan angka positif termasuk pertumbuhan ekonomi, inflasi, pengangguran kira-kira 500,000, peluang kerja dan kestabilan pelaburan luar.

Apa yang menjadi cabaran kepada kepada kerajaan hari ini adalah isu kos sara hidup, sama ada kekayaan ekonomi atau economic pie dikecapi masyarakat secara meluas dan pendapatan yang setara dengan keperluan hidup.

Agensi antarabangsa mencadangkan bahawa gaji minimum ditetapkan pada RM2,000 berbanding RM1,500 ketika ini. Terdapat juga isu mengenai nilai subsidi besar lebih RM65 bilion, serta hutang dan tanggungan negara yang masih lebih RM1 tri­lion selain defisit kewangan negara.

Ekonomi Malaysia masih berada di tangga ke-36 di dunia dan kekayaan ekonomi yang meluas masih menjadi cabaran kepada Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kuda lumba paling berjaya adalah yang tidak menoleh ke kanan atau kiri ketika berlumba. Kerajaan Perpaduan harus menjadi seperti kuda lumba dan hanya memandang ke hadapan untuk mengubah pandangan negatif terhadap pentadbirannya.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Ulasan