Duit ke Akaun Fleksibel KWSP boleh dipindah mulai hari ini





Duit ke Akaun Fleksibel KWSP boleh dipindah mulai hari ini
Pencarum yang layak boleh mula pindahkan duit dari Akaun Sejahtera kepada Akaun Fleksibel mulai hari ini.
Oleh FITRI NIZAM
12 Mei 2024, 7:15 am

PETALING JAYA: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah boleh memohon untuk memindahkan 10 per 30 simpanan dalam Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel menerusi aplikasi i-Akaun atau mengunjungi cawangan KWSP di seluruh negara, mulai hari ini.

Walaupun Akaun Fleksibel mula diperkenalkan tanpa sebarang jumlah mulai hari ini, pencarum boleh memilih untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera antara 12 Mei dan 31 Ogos.

Bagaimanapun, Akaun Fleksibel akan kekal bermula pada RM0 jika pencarum tidak memilih untuk memindahkan sebarang jumlah dan hanya akan bertambah dengan caruman baharu selepas 11 Mei.

Berdasarkan laman web KWSP, menerusi penstrukturan semula itu, sebuah akaun baharu iatu Akaun Fleksibel diperkenalkan manakala Akaun 1 dinamakan sebagai Akaun Persaraan, dan Akaun 2 sebagai Akaun Sejahtera.

Dengan pengenalan Akaun Fleksibel, bahagian caruman yang disimpan ke dalam Akaun Persaraan meningkat kepada 75 peratus, tetapi bahagian untuk Akaun Sejahtera dikurangkan kepada 15 peratus manakala 10 peratus akan masuk ke Akaun Fleksibel.

“Akaun Fleksibel bertujuan memenuhi keperluan kewa­ngan jangka pendek ahli. Simpanan Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh KWSP,” katanya.

SEKALI

Pemindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel hanya boleh dilakukan sekali sahaja bermula tarikh berkuat kuasa sehingga 31 Ogos depan.
Bagi proses itu, pindahan amaun permulaan akan diluluskan dalam tempoh tiga hingga lima hari bekerja.

“Ahli boleh membuat pengeluaran Akaun Fleksibel sebaik sahaja mempunyai simpanan minimum RM50, sama ada selepas pindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera telah dibuat atau setelah pengkreditan caruman baharu.

“Syarat-syarat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel adalah belum mencapai umur 55 tahun; mempunyai simpanan dalam Akaun Fleksibel dan had amaun pengeluaran minimum ditetapkan adalah RM50,” katanya.

Bayaran bagi pengeluaran Akaun Fleksibel akan dibayar secara pengkreditan terus ke dalam akaun bank pencarum yang masih aktif dan didaftarkan atas nama sendiri.

Sementara itu, beberapa perkhidmatan dalam talian KWSP melibatkan Perkhidmatan Ahli; Perkhidmatan Majikan dan Perkhidmatan Rakan Niaga mengalami gangguan.
sistem dipercayai ada kaitan dengan penstrukturan semula akaun pencarum itu.
KWSP dalam kenyataan sebelum ini juga memaklumkan tentang penyelenggaraan bagi menaik taraf sistem atas talian miliknya bermula kelmarin sehingga semalam.

Perkhidmatan Ahli yang terganggu termasuklah i-Akaun (Ahli); KWSP i-Akaun; pendaftaran i-Akaun dalam talian; pendaftaran i-Saraan dalam talian; i-Invest; i-Lindung dan Self Service Terminal (SST).

Perkhidmatan Majikan pula yang dijangka terganggu adalah i-Akaun (Majikan); pendaftaran majikan dalam talian; e-Payroll dan aplikasi e-Caruman sementara Perkhidmatan Rakan Niaga terjejas i-Akaun (rakan niaga).- UTUSAN

Ulasan