Gotong Royong Mega semarak kempen Kelantanku Bersih
May 14, 2024
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan menganjur program Gotong Royong Mega secara serentak di seluruh Kelantan bagi menyemarakkan lagi kempen Kelantanku Bersih pada 10 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, program tersebut digerakkan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, perbincangan mengenai program terbabit diadakan dengan Pengarah Bahagian Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Kamaruddin Omar, baru-baru ini. (Foto atas)
“Kerajaan negeri sentiasa memupuk masyarakat di negeri ini supaya peka dengan kebersihan terutamanya di tempat-tempat awam.
“Di kesempatan ini saya berharap semua badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk perumahan serta komuniti setempat menganjurkan program yang serupa di kawasan masing-masing,” katanya di sini.
Menurutnya, program tersebut sebahagian agenda kempen Kelantanku Bersih yang dilancar kerajaan negeri pada penggal lepas.
Kata beliau juga kempen kebersihan dan keceriaan menjadi agenda utama lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.
“Kempen berkenaan diadakan setiap bulan sehingga dapat melahirkan rakyat Kelantan yang gemar budaya bersih dan cintakan kebersihan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/5/2024
Ulasan
Catat Ulasan