Hamzah dedah Zahid tawar jawatan SU Agung jika sokong jadi presiden


Hamzah dedah Zahid tawar jawatan SU Agung jika sokong jadi presiden
HAMZAH Zainudin mendedahkan pertemuannya dengan Ahmad Zahid Hamidi yang merayu sokongannya untuk menjadi Presiden UMNO ketika berucap pada Ceramah Umum PN dekat Bandar Utama Batang Kali di Hulu Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Oleh MOHAMAD ATHIR BIN ISMAIL
9 Mei 2024, 10:15 am

HULU SELANGOR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didakwa menawarkan jawatan Setiausaha Agung UMNO kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin jika menyokongnya untuk menjadi presiden parti itu dalam pemilihannya pada 2018.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, menjelang pemilihan ketika itu, beliau mendakwa dijemput ke rumah Ahmad Zahid dan diminta memberi sokongan kepadanya untuk menjadi presiden.

“Saya hendak maklumkan, saya keluar UMNO ketika itu masa ada pemilihan di antara Zahid hamidi dengan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah untuk merebut jawatan presiden parti.

“Ketika itu saya masih ahli UMNO, saya ketika itu juga masih lagi ahli parlimen (Larut) yang mewakili Barisan Nasional (BN). Dijemput saya ke rumah, dia (Ahmad Zahid) minta, dia kata Hamzah, ‘aku mintak kau tolong sokong aku jadi presiden’, saya sebagai seorang yang sentiasa mahu melihat parti itu lebih besar daripada kepentingan mana-mana individu saya sebut dengan dia,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, malam tadi.

Tambah Setiausaha Agung Parti Bersatu itu, Ahmad Zahid dikatakan memegang al-Quran dan berjanji untuk melantiknya sebagai setiausaha agung jika memenangi jawatan tersebut.

“Saya kata ‘brother, you tak boleh jadi presiden parti, patut tinggalkan beri kepada Tengku Razaleigh’, itu jawapan ikhlas daripada saya. Dia ambilnya al-Quran, dia pegang al-Quran, dia kata ‘Hamzah, ini al-Quran, aku berjanji kalau aku menang, kau jadi setiausaha agung, sebab itu kau kena bantu aku untuk jadi presiden parti’.


“Saya sekali lagi cakap, ‘ini saya pegang al-Quran, saya berjanji tidak akan benarkan kau jadi presiden parti’. Walaupun dia menjanjikan jawatan setiausaha agung. Sebab itu bila saya tinggalkan parti, (Datuk Seri) Ahmad Maslan jadi setiausaha agung,” jelasnya.

Sehubungan itu, Hamzah terus menyelar Ahmad Zahid dan menyifatkan beliau meletakkan kepentingan peribadi melebihi parti dan perjuangan terhadap ahli-ahli UMNO sehingga sanggup menganggap DAP telah berbudi kepada mereka.

“Itulah perjuangannya, mementingkan dirinya semata-mata tidak kepada UMNO, saya kata kenapa ‘kau tak boleh jadi presiden’, kerana presiden adalah melambangkan sesuatu parti yang memerjuangkan nasib bukan hanya ahli tetapi seluruh orang Melayu dan mana-mana kaum yang bersama dengan BN. Lambang itu kena betul, kalau lambang itu salah maka busuklah parti itu nanti.

“Itu perjuangan saya, sebab itu saya keluar. Hari ini sudah ternyata, dia beritahu kepada ahli-ahli UMNO kita kena berterima kasih kepada DAP yang berbudi. Berbudi kepada siapa? Untuk menyelamatkan engkau (Ahmad Zahid) semata-mata, bukan kepada ahli-ahli UMNO yang selama ini diperbodohkan oleh presidennya.

“Saya minta kepada semua ahli-ahli UMNO yang mendengar di luar sana, kami minta cukup-cukuplah ditipu. Kami di sini memperjuangkan daripada ulu semenjak kami memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara, terus bersama untuk menentukan masa depan lebih baik kepada semua rakyat,” tegasnya. – UTUSAN

Ulasan