Israel gempur, bom Rafah




Israel gempur, bom Rafah
BEBERAPA orang remaja lelaki Palestin melihat lubang berbentuk kawah hasil letupan bom yang dilancarkan tentera Israel yang meranapkan bangunan dan kediaman penduduk di Rafah, selatan Gaza kelmarin. – AFP
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
10 Mei 2024, 7:50 am

BAITULMUQADDIS: Israel memungkiri janji kerana bertindak menggempur dan mengebom setiap kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan selamat di Gaza termasuk Rafah.

Malah, mereka tidak menghiraukan ­amaran rakan sekutu, kerajaan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang kini menghentikan penghantaran bom dan senjata ke negara berkenaan berikutan kebimbangan bencana kemanusiaan.

Dalam pada itu, dunia turut mengecam serangan berterusan tentera Zionis yang mengancam lebih 1.3 juta nyawa di Rafah, kawasan yang terkepung walaupun rundingan gencatan senjata sedang berlangsung melibatkan Hamas dan Israel di Kaherah, Mesir.

Menurut Duta Palestin ke United Kingdom, Husam Zomlot, setiap kawasan yang dipanggil Israel sebagai kawasan selamat sudah dibom.
“Tiada lagi hospital, tiada sekolah dan tiada infrastruktur,” kata diplomat itu.

Apabila Israel melancarkan operasi ketenteraannya di Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, rakyat Palestin dipaksa untuk berpindah dari utara ke selatan yang didakwa sebagai zon selamat.

“Kawasan ini termasuk Rafah, sasaran terbaharu Israel dalam operasi berterusannya dan Deir al-Balah yang turut dibom,” kata Husam.


Lebih 1.3 juta orang berlindung di Rafah di bahagian selatan kawasan terkepung berhampiran sempadan dengan Mesir.

Husam seterusnya menerangkan keadaan yang mengerikan itu ketika Israel meneruskan operasinya di Rafah sewaktu rakyat Palestin hampir mengalami kebuluran yang dikaitkan dengan pengepungan Israel dan tidak membenarkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Bagaimanapun, jurucakap Israel menafikan laporan tentang kejadian kebuluran di Gaza.

“Terdapat situasi kebuluran yang hampir berlaku kerana pengepungan dan Israel tidak membenarkan akses tanpa batasan bantuan kemanusiaan.

“Memandangkan semua ini, kemudian anda pergi dan menyerang Rafah, ia hanya menjadi resipi untuk pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat dan berlaku terhadap rakyat Palestin tanpa boleh bergerak ke mana-mana,” katanya kepada media, Al Arabiya.

Duta Palestin itu dilahirkan di Rafah yang disifatkannya sebagai wilayah yang sangat kecil.

Beliau juga berkata, di sinilah beratus-ratus ribu kanak-kanak menjadi mangsa mesin perang Israel dan mereka benar-benar memusnahkan orang awam di sana.

Walaupun tekanan antarabangsa daripada sekutu meningkat kepada Israel untuk menghentikan operasi terbaharunya ke atas Rafah, namun, beliau percaya ia tidak akan berhenti di situ, tambahnya.

“Itulah sebabnya anda mempunyai AS untuk mengatakan Rafah adalah garis merah, anda mempunyai United Kingdom untuk mengatakan Rafah adalah garis merah. Anda mempunyai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengatakan Rafah adalah garis merah, Kesatuan Eropah, semua orang mengatakan Rafah adalah garis merah.

“Tetapi Netanyahu (Perdana Menteri Israel) menganggap biasa kerana hanya mahu melintasi semua garis merah itu … dia boleh,” kata Husam. – UTUSAN

Ulasan