Johor kutuk serangan terhadap pemain bola, kecewa Piala Sumbangsih dibatalkan

 Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto NSTP

Johor kutuk serangan terhadap pemain bola, kecewa Piala Sumbangsih dibatalkan
Oleh Mohamed Farid Noh - Mei 9, 2024 @ 7:49pm

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengutuk sekeras-kerasnya dan sentiasa memandang serius beberapa insiden yang menimpa pemain bola sepak negara termasuk Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu yang menggugat keharmonian dan keselamatan di Johor.

Namun, katanya, sebagai penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), beliau terkilan dengan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih yang sepatutnya berlangsung esok.

"Meskipun (aspek keselamatan) sudah mendapat jaminan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
DISYORKAN UNTUK ANDA










"Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor juga bersetuju untuk mengerahkan 1,500 anggota untuk memantau aspek keselamatan pada perlawanan berkenaan.

"Saya ingin menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pasukan JDT di atas kesediaan, komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan untuk tetap meneruskan perlawanan yang dijadualkan berbekalkan keyakinan jaminan diberikan PDRM, bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong menjadi keutamaan.


"Semoga penyokong JDT tidak berputus asa dan tetap menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta mengekalkan profesionalisme dalam memberikan sokongan penuh kepada pasukan dalam setiap perlawanan-perlawanan yang akan datang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

ADVERTISING


Badan penganjur liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan aksi Piala Sumbangsih dan perlawanan pertama Liga Super antara JDT dengan Selangor FC yang dijadualkan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, di sini, esok dibatalkan.

MFL dalam kenyataannya mengesahkan aksi yang juga perlawanan pertama Liga Super membabitkan kedua-dua kelab berakhir dengan kemenangan 3-0 kepada JDT selepas Selangor melakukan walkover.

Semalam, pengurusan Selangor FC dilaporkan membuat keputusan mengejut untuk menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadual malam esok.

Selangor FC dalam kenyataan rasmi menyatakan mereka membuat keputusan berkenaan selepas mengambil kira keselamatan pemain dan pegawai yang menjadi keutamaan pasukan itu walaupun MFL mahu meneruskan perlawanan itu.

Sebelum ini, media melaporkan tidak sampai seminggu selepas insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun, satu lagi insiden mengejutkan terjadi dengan seorang lagi pemain kebangsaan, Faisal Halim menjadi mangsa terbaru.

Faizal yang juga pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara, Ahad lalu.

Cermin kereta bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim, dipecahkan oleh individu tidak dikenali menggunakan tukul besi ketika beliau sedang memandu berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT), di Jalan Sri Gelam kira-kira jam 10.05 malam yang dikongsikan oleh Safiq menerusi laman media sosial Instagram miliknya.

Ulasan