Karim Khan KC perlu tegas, berprinsip bela Palestin



Karim Khan KC perlu tegas, berprinsip bela Palestin
May 22, 2024

Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan syabas kepada Ketua Pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan KC kerana dengan tegasnya telah meminta dikeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah kemanusiaan dan perang yang dilakukan ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Namun begitu, Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya berpandangan tindakan Karim Khan KC yang turut meminta dikeluarkan waran tangkap ke atas pemimpin Hamas iaitu Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar dan Mohammed Diab Ibrahim Al-Masri sewajarnya dikaji semula.

“Ini adalah kerana beliau dan ICC seharusnya boleh membezakan secara jelas antara tindakan zalim kuasa penjajah yang melampaui batas dan undang-undang dengan penentangan terhadap kuasa penjajah demi kemerdekaan yang sah dengan mengangkat senjata sebagaimana yang termaktub dan dibenarkan dalam Piagam PBB,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, apa yang amat mengecewakan adalah reaksi pemimpin Barat terhadap permintaan pengeluaran waran tangkap tersebut yang secara terbuka mengkritik keras di samping mengugut akan bertindak balas terhadap ICC termasuk mengenakan sekatan.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin utama negara haram Israel pula secara terbuka mengecam tindakan tersebut dan mengganggap ia sebagai ancaman terhadap negara haram Israel.

“Malahan terdapat sekumpulan Senator dari Parti Republikan, Amerika Syarikat yang secara terbuka mengancam Karim Khan KC dan keluarga serta kakitangan pejabatnya jika beliau mengeluarkan waran tangkap ke atas Banjamin Netanyahu dan pemimpin negara haram Israel.

“Kesemuanya ini berikutan Barat dan pemimpinnya adalah pendukung utama rejim Zionis Israel,” katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Beliau berkata, ia amat jelas memaparkan sikap double standard dan hipokrit pemimpin Barat apabila menyokong kuat tindakan ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas Presiden Rusia, Vladimir Putin atas dakwaan jenayah perang berikutan tuduhan pengusiran dan pemindahan penduduk (kanak-kanak) secara tidak sah dari Ukraine ke Rusia berikutan Rusia adalah seteru utamanya ketika ini.

Sehubungan itu, ujarnya Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat berharap agar Karim Khan KC tidak gentar dengan ancaman yang dihadapinya ketika ini dan dalam masa sama perlu bersikap adil terhadap kumpulan pejuang Palestin.

“Teruskan usaha yang murni ini dengan tegas dan berprinsip dalam usaha untuk membela nasib rakyat Palestin.

“Semoga pemimpin-pemimpin rejim Zionis Israel diheret ke muka pengadilan atas segala jenayah yang dilakukan sejak tertubuhnya negara haram Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2024

Ulasan