Kasino di Forest City: Polis ambil keterangan Ketua Pengarang portal Isnin ini





Kasino di Forest City: Polis ambil keterangan Ketua Pengarang portal Isnin ini
RAZARUDIN HUSAIN
Oleh MASZUREEN HADZMAN
3 Mei 2024, 7:29 pm

PETALING JAYA: Polis akan mengambil keterangan ketua pengarang sebuah portal berbahasa Inggeris, Isnin ini berhubung penerbitan artikel mengenai kasino di Forest City.

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses merakam keterangan itu akan dilakukan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman kira-kira pukul 11 pagi.

Kata beliau, siasatan itu dilakukan selepas satu laporan polis dibuat oleh peguam ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan berhubung artikel berunsur fitnah bertajuk Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg.

Jelas beliau, laporan itu dibuat selepas artikel tersebut didakwa mengandungi pernyataan yang palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan.

“Justeru itu, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,”katanya.

Tambah Razarudin, pihak USJT juga telah melakukan janji temu merakam percakapan Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay berhubung perkara ini.


“Bagaimanapun tarikh rakaman percakapan belum diperolehi. Pihak USJT juga telah melakukan janji temu untuk rakaman percakapan beberapa saksi² yg penting dan masih belum mendapatkan pengesahan tarikh,” jelasnya.

Beberapa pihak menggesa kerajaan menyaman dua agensi media asing berhubung laporan penerbitan artikel berniat jahat mengenai kasino di Forest City.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, akreditasi media terbabit iaitu Bloomberg dan Business Time Singapura juga perlu ditarik.

Sebelum ini, Anwar, Berjaya Corp dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit berhubung laporan itu.

Bloomberg melaporkan, Anwar menemui pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City, Johor.

Berjaya Corp berkata, penerbitan artikel yang berniat jahat itu diburukkan lagi oleh fakta yang tiada agensi berita membuat sebarang percubaan untuk mengesahkan kebenaran dan ketepatan kenyataan itu dengan pihaknya.

Katanya, ini terutamanya apabila kenyataan itu dikaitkan dengan sumber tanpa nama yang diragui kesahihannya. – UTUSAN

Ulasan