Kaum India semakin yakini PN, kata Al-Mursyidul Am PAS




Kaum India semakin yakini PN, kata Al-Mursyidul Am PAS
May 9, 2024

KANGAR: Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin mengakui wujud kecenderungan masyarakat kaum India di negara ini yang semakin yakin kepada kepimpinan Islam.

Sehubungan itu pada beliau, tidak mustahil mereka akan memberi undi kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) dalam pengundian pada Sabtu, 11 Mei ini.

“Bagi saya tidak mustahil orang India di KKB menyatakan sokongan kepada PN. Walaupun calon dari BERSATU, tapi kerana BERSATU bersama PAS dan PAS juga menyokong calon BERSATU, maka mereka beri sokongan pada PN.

“Perkara ini berlaku kerana pertolongan Allah dan ia datang selepas kita ikhlas menolong Allah. Sejarah orang bukan-Islam menyokong gerakan Islam ini ada dari (zaman) dulu sampai sekarang.

“Kerana mereka mendapati kejujuran, keadilan, kestabilan dan keyakinan kepada pimpinan Islam itu dapat diterima oleh mereka,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis, di sini hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, masyarakat India kini disifatkan lebih berani dan terbuka menyatakan hasrat menyokong PN pada PRK ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Larut, sikap itu dikesan hasil tinjauan yang dibuat pemimpin dan jentera PN sehingga hari ke sembilan berkempen.

“Mereka sudah berani mengatakan untuk menyokong sesiapa dan berani mengkritik segala polisi kerajaan. Kalau dahulu mereka agak diam dan tidak mahu sebut mengenai masalah dan polisi kerajaan,” katanya.

Selain itu, menurut Tuan Guru Hashim, sokongan itu juga melonjak kerana kehadiran Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang kebanyakannya dari kaum tersebut.

“Saya yakin DHPP ini berperanan untuk tarik pengundi India kerana mereka telah lama bersama dengan PAS dan turut diberi peluang menjadi Senator serta berkawan dengan kepimpinan PAS.

“Mereka perhati gerak geri, hala tuju perjuangan parti ini boleh dipercayai dan kita tidak pernah melakukan penganiayaan terhadap mana-mana kaum.

“Di Kelantan orang Siam boleh terima, Cina boleh terima sebab segala dasar kerajaan membantu rakyat tanpa membezakan antara satu bangsa dengan bangsa lain,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

Ulasan