Kemiskinan tegar: Perlu jelaskan di mana noktahnya


Kemiskinan tegar: Perlu jelaskan di mana noktahnya
May 9, 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan berhubung laporan kemiskinan tegar dikeluarkan agensi dunia dan negara ini yang seperti bercanggah dengan kenyataan pernah disebut Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, laporan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu UNICEF itu mendedahkan bahawa kemiskinan tegar di Kuala Lumpur berada pada 8 peratus.

Sedangkan Perdana Menteri ujarnya, telah menyatakan bahawa usaha membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai 100 peratus, dalam satu ucapan di Ibu Negara pada 15 Februari lalu.

“Saya mulanya enggan menerima laporan itu, manalah tahu agensi dunia itu mahu memburuk-burukkan negara ini sebagaimana satu media global yang menyiarkan dakwaan pasal kasino tempoh hari.

“Tentulah saya tidak mahu negara saya difitnah dan (saya juga) menentang fitnah ke atas PM. Tetapi, Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, YB Mohamad Hanafiah Abu Baker juga (ada) menyentuh kenyataan PM mengenai kemiskinan tegar itu.

“Beliau memetik data dari agensi negara kita sendiri iaitu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan statistik data eKasih yang dilaporkan Pejabat Pembangunan Negeri. (Bahawa) Masih wujud miskin tegar di Negeri Sembilan.

“Mana yang betul? Rakan saya Menteri Komunikasi (Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil) adalah jurucakap (kerajaan) bertauliah untuk menjelaskan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Berikutan laporan tersebut disiarkan media tempatan, Ahmad Fadhli turut berharap supaya perkara tersebut tidak menyebabkan portal berita itu disiasat, kerana khuatir akan menyebabkan Indeks Kebebasan Media negara ini semakin merudum.

Dato’ Seri Anwar pada pertengahan tahun lalu telah mengarahkan seluruh jentera kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam tahun tersebut yang ditegaskan beliau sebagai agenda penting Kerajaan Madani.

Manakala dalam lawatan beliau ke beberapa negeri sejak bulan lalu, beliau menyatakan komitmen untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam masa dua bulan di setiap negeri terbabit. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

Ulasan