Labaik Allahumma Labaaik!


Labaik Allahumma Labaaik!
Oleh ZULKIFLI JALIL
19 Mei 2024, 9:07 am

Labaik Allahumma Labaaik, labaaik Laa Syarika Laka Labaaik Inal Hamda Wan Ni’mata Laka Wal Mulka La Syarikalah.” (Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu”).

Hakikatnya bukan mudah untuk mendapat haji mabrur. Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah SAW:

“Akan datang ke atas manusia suatu zaman di mana ketika itu orang kaya mengerjakan ibadat haji untuk makan angin dan orang yang mempunyai pendapatan sederhana untuk berniaga, dan para ulama kerana riak dan sum’ah manakala orang yang fakir pula mengerjakan haji kerana sambil meminta-minta”. (Hadith riwayat Ibnul Jauzi di dalam Mutsirul Gharam)

Di akhir zaman banyak orang yang menyalahgunakan tujuan ibadat yang sepatutnya hanya untuk mencari keredaan Allah SWT. Ini jelas apabila ramai orang kaya pergi ke Mekah bukan untuk beribadat tetapi hanyalah sebagai seronok berjalan-jalan (makan angin). Mungkin ada orang yang pergi ke Mekah setiap tahun tetapi jiwa mereka tetap tidak berubah menjadi hamba Allah yang soleh.

Orang yang berpendapatan pertengahan pula pergi ke Mekah sambil berniaga dan mencari keuntungan dan para ustaz pula pergi ke Mekah untuk dikatakan sudah sekian kali ia pergi ke sana dan tidak ketinggalan pula orang yang fakir juga pergi ke Mekah tapi dengan niat untuk meminta-minta.

Dalam hal yang seperti ini Abdullah bin Mas’ud pernah berkata: Di akhir zaman nanti banyak orang kaya yang pergi ke Mekah tanpa suatu sebab (tujuan syarie). Perjalanan mereka ke sana menjadi mudah sekali dan rezeki pun melimpah ruah. Malangnya mereka kembali dari Mekah dengan tangan kosong.


Tidak ada pahala atau ganjaran yang mereka dapatkan. Orang ini memecut kenderaannya antara padang pasir (bersusah payah dalam perjalanan) dan mengeluarkan belanja yang banyak sedangkan jirannya yang tinggal di sebelah rumahnya ikat perut menahan kelaparan. Ia tidak mempedulikan mereka dan tidak membantunya.

Namun harus fikirkan yang baik-baik sahaja, tidaklah sukar untuk memperoleh haji mabrur jika jemaah haji itu meletakkan sepenuh keikhlasan dan jiwa raganya dalam mengerjakan ibadah kerana Allah. Kilas cakap-cakap “haji sekarang haji selfie (berswafoto), umrah sekarang umrah selfie, akhirnya jadi riak”.

Kesan haji mabrur itu hanya dapat dilihat setelah enam hari selepas wukuf di Arafah,” kata seorang pakar rujuk Tabung Haji, Datuk Fadzil Awang yang masih diingati penulis sekitar tahun 2014.

Sepanjang beribadah di tanah suci, jemaah haji diyakini berupaya mengelak atau menangani godaan dan ancaman mendatang. Ia datang dalam bentuk yang pelbagai. Semasa wukuf di Arafah nanti, para jemaah haji diyakini memanfaatkan setiap saat berada di Arafah dengan secara maksimum. Ini dilakukan dengan cara berzikir, beristighfar, berdoa dan membaca al-Quran. Di Arafah iaitu antara

Asar sehingga menjelang Maghrib, ‘pintu langit sedang dibuka dan Allah akan memakbulkan doa-doa untuk para tetamu-Nya’.

Selain menyerahkan sepenuh keikhlasan diri kepada- Nya, turut dibacakan surah Al-Haj serta Al-Ikhlas sebanyak 1,000 kali, Insya-Allah diharap termakbul doa- doa.

Panggilan haji
telah tiba lagi
Menunaikan ibadah panggilan Baitullah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah.

Ulasan