Orang luar pun faham tentang halal, haram




Orang luar pun faham tentang halal, haram
SELALUNYA penganut agama lain di luar negara akan menyediakan makanan halal untuk umat Islam ketika penganjuran sesuatu majlis. – AFP
Oleh Meja Rencana
16 Mei 2024, 9:00 am

KALIMAH halal-haram ini jika diutarakan oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendiami di negara majoriti penduduknya Islam tidaklah pelik dan janggal.

Terma-terma yang sinonim dengan masyarakat Islam tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Australia. Rata-rata mereka semakin cakna dengan isu-isu berkaitan penganut Islam.

Contohnya, ketika menganjurkan private party, tuan rumah pasti akan lebih sensitif dalam menyediakan pilihan makanan termasuk makanan halal walaupun tetamu Muslim adalah minoriti.

Bagi majlis-majlis rasmi pula, mereka pasti akan menyediakan pilihan makanan yang sekurang-kurangnya meliputi tiga kategori iaitu makanan biasa yang berunsurkan daging (tidak halal), bebas gluten, dan vegan (mesra halal kerana bebas daging) untuk tetamu yang vegan dan Muslim.

Begitu juga ketika Ramadan dan Syawal, rakan-rakan bukan Islam sangat mengambil berat dengan perayaan ini walaupun Islam merupakan masyarakat yang minoriti.

Situasi sama boleh dilihat dalam kalangan masyarakat bukan Islam di serata dunia, seperti dalam platform media sosial. Mereka bebas menggunakan terma-terma arab atau Islam dengan selesa menerusi hantaran-hantaran yang dibuat.


Sebab itu, bukanlah perkara yang aneh dan janggal jika kita lihat banyak masyarakat muda dunia lebih aktif dalam menyuarakan isu-isu kemanusiaan walaupun membabitkan umat Islam, meskipun mereka bukan penganut agama ini.

Isu Palestin misalnya, kita dapat lihat masyarakat yang majoritinya bukan Islam di seluruh dunia giat menjalankan protes dan perkhemahan aman di universiti-universiti terkemuka sehingga hari ini.

Tatkala segelintir masyarakat Islam di Malaysia yang kononnya sudah muak dengan isu protes dan boikot yang berlanjutan selama lebih tujuh bulan, sejak Oktober 2023.

Fenomena ini dilihat tidak pudar, bahkan semakin merebak sehingga ke kepulauan Australia yang jauh dari benua lain.

Pastinya, media sosial adalah punca utama kesedaran, pengetahuan dan penerimaan terhadap pelbagai isu, lebih-lebih lagi melibatkan masyarakat Islam, selain pendidikan dan pergaulan bersama masyarakat berbilang kaum.

Media sosial sudah menjadi sumber utama bagi golongan muda untuk mendapatkan ilmu pengetahuan baharu, bukan lagi terhad kepada buku-buku dan blog.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi yang beragama Islam, perlu memberi perhatian kepada kewujudan kita (media presence) di media sosial.

Ia bukan sahaja akan memalitkan imej sebagai individu, bahkan memberi kesan terhadap agama, bangsa dan negara kita.-UTUSAN

AMARUL ARIEF MOHD. SHUHAIMI
Kolej Kejuruteraan, Sains & Alam Sekitar,
The University of Newcastle, Australia

Ulasan