PH nafi arah, benarkan kempen guna gambar Agong




[VIDEO] PH nafi arah, benarkan kempen guna gambar Agong

06 Mei 2024 12:41pmMasa membaca: 4 minit

HULU SELANGOR - Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengarahkan atau membenarkan tindakan menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk tujuan kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu seperti mana insiden yang tular ketika ini.

Pengarah Kempennya, Ng Sze Han berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.


"Saya merujuk kepada laporan media mengenai insiden di mana gambar Yang di-Pertuan Agong telah digunakan semasa kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

"Dilaporkan bahawa gambar diletakkan atas sebuah kenderaan yang membawa sepanduk dan di belakangnya tertera bendera PH.

"Sebagai pengarah kempen PH PRK Kuala Kubu Baharu, saya ingin menegaskan bahawa pihak kami tidak pernah mengarahkan atau membenarkan tindakan ini oleh mana-mana petugas kempen PH," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.



Sinar Harian pada Ahad melaporkan, dua lelaki diberkas selepas pacuan empat roda yang dinaiki menggunakan gambar Sultan Ibrahim ketika kempen PRK DUNKuala Kubu Baharu.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, laporan sebelum itu dibuat seorang individu di Balai Polis Kuala Kubu Baharu kira-kira jam 6.18 petang pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, pihaknya turut mengambil maklum mengenai siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa ketika ini.

"Tindakan menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong dalam kempen adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan tidak harus berlaku," katanya.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan majoriti 4,119 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.

DUN KKB memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Ulasan