PN kecam tindakan terhadap Azmin Ali

 PN kecam tindakan terhadap Azmin Ali

May 21, 2024


Takiyuddin Hassan dan Azmin Ali.

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) amat berdukacita dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Azmin Ali berkaitan dengan perbahasan beliau di Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau telah dimaklumkan tentang penyerahan satu Notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah terhadap Azmin, yang telah dipanggil untuk menghadirkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi memberikan kenyataan berkenaan dengan perkara yang dibangkitkan olehnya semasa sesi perbahasan dalam Dewan Negeri Selangor yang lalu.

“Adalah menjadi amalan demokrasi yang matang di mana-mana negara di dunia, bahawa setiap ahli-ahli parlimen mahupun ahli-ahli dewan undangan negeri mempunyai kekebalan dan perlindungan daripada sebarang pendakwaan jenayah…”

“…atau tindakan sivil atas apa-apa perkara yang diucapkan atau dibahaskan di dalam dewan selagi tidak melanggari apa yang ditetapkan dalam undang-undang termasuk peraturan mesyuarat,” katanya.

Menurutnya, prinsip kekebalan ini telah digariskan dengan jelas di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh Negeri, khususnya Seksyen 2 dan 3 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Prinsip ini juga telah diulangi dalam keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Yang Dipertua Dewan Rakyat & Lain-lain lwn Gobind Singh Deo (2014) 9 CLJ 577, yang mana Mahkamah Persekutuan menyatakan seperti berikut:

“Dengan tugas berat diletakkan di atas bahu mereka, dan untuk mereka melaksanakan tugas mereka tanpa gangguan atau pengaruh yang tidak wajar, Ahli Parlimen telah diberikan status, kuasa, keistimewaan dan kekebalan istimewa. Ini telah meningkatkan martabat Parlimen dan ahli-ahlinya. Keistimewaan ini terkandung dalam Artikel 63 Perlembagaan dan Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.”

Sementara itu, tambah Takiyuddin, “Adalah difahamkan Datuk Seri Azmin Ali, selaku ADUN dan juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah membangkitkan beberapa isu berkenaan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor termasuk berkenaan pengurusan PKNS, yang mana Pengerusinya adalah Menteri Besar Selangor.

“Lantaran daripada itu, beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis atas isu yang beliau timbulkan.”

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan, bahkan yang kelihatan direstui secara tidak langsung oleh Kerajaan Madani ini bukan sahaja satu tindakan yang bertentangan dengan prinsip asas demokrasi yang diterima pakai di seluruh dunia, bahkan ia adalah satu tindakan penakut dan terdesak untuk menutup isu-isu kepincangan pentadbiran yang ditimbulkan.

“Kerajaan Madani kini ibarat takut dengan bayang-bayang sendiri, bukan sahaja gagal berwacana secara sihat dan profesional bagi menjawab isu, malah telah mengambil tindakan draconian (zalim) bagi menyepikan kritikan (silent the critique) dan menyekat kebebasan bersuara,” tegasnya.

Menurutnya lagi, tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi di negara ini, seorang ahli dewan undangan negeri yang dipilih oleh rakyat di ambil tindakan atas apa yang diucapkannya untuk memenuhi tanggungjawab di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

“Selaku Ketua Whip Ahli-Ahli Parlimen PN, saya dengan ini mendesak dan menggesa agar sebarang intimidasi, kacau ganggu dan pengaruh tidak wajar termasuk Notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah yang telah dikeluarkan kepada Datuk Seri Azmin Ali dihentikan dan ditarik balik serta merta,” katanya. –HARAKAHDAILY 21/5/2024



Ulasan