PN perlu terus mara dalam memenangi PRU-16


PN perlu terus mara dalam memenangi PRU-16
May 23, 2024


KUALA LUMPUR: “Kita perlu fokus dalam mempertahankan momentum Perikatan Nasional (PN) yang sedia ada.”

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, perkara tersebut adalah penting dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

“Maka kita terus kekalkan persahabatan dengan BERSATU dan juga berbaik dengan semua pihak walaupun mempunyai perbezaan dari segi ideologi politik,” katanya.

Menurut beliau, PN bukan sahaja perlu menghadapi gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) tetapi juga menjaga kepentingan jemaah itu sendiri.

Tambahnya, PAS sendiri mengajar setiap ahlinya untuk bersifat terbuka kepada mana-mana pihak yang mula menunjukkan sokongan kepada PN.

“Buktinya ialah ketika Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim mula menyertai PN, tidak dinafikan ada sebahagian ahli kita yang tidak bersetuju dengan perkara tersebut.

“Namun Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima beliau dan di sini jelas menekankan bahawa sifat keterbukaan perlu diamalkan oleh ahli-ahli PN,” dalam Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-29 PAS Kawasan Gombak di Dewan Pengantin Mahar Cinta Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir ialah Yang Di-Pertua PAS Gombak Ustaz Salehuddin Nasir; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Dato Seri Mohamed Azmin Al; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham.

Dalam pada itu, Mohd Shukri menyatakan bahawa Selangor merupakan kubu terkuat untuk PH-BN yang mana mereka sentiasa takut ianya jatuh ke tangan PN.

Kata beliau, ini kerana sekiranya berlakunya kejatuhan negeri Selangor ke tangan PN, ini akan memberikan kesan yang mendalam terhadap PH-BN itu sendiri.

“Kalau sebelum ini negeri Perlis tidak pernah BN kalah sejak pilihan raya pertama tetapi dalam PRU Ke-15 telah menunjukkan bahawa rakyat mula memberi sokongan kepada PN.

“Malah, sekarang terbukti bahawa undi terhadap PH-BN semakin menurun manakala ramai orang muda semakin menunjukkan sokongan terhadap PN.

“Jadi, kita kena teruskan usaha untuk bukan sahaja mempertahankan negeri-negeri yang dikuasai PN tetapi juga untuk menang dalam PRU Ke-16 ini.

“Sama-sama kita terus mempertahankan syiar Islam di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2024

Ulasan