PRK Kuala Kubu Baharu: Hasrat kemuka petisyen bukan ugutan – Takiyuddin





PRK Kuala Kubu Baharu: Hasrat kemuka petisyen bukan ugutan – Takiyuddin
TAKIYUDDIN HASSAN
Oleh MOHAMAD ATHIR BIN ISMAIL
7 Mei 2024, 1:26 am

HULU SELANGOR: Timbalan Setiausaha Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan hasrat partinya mahu mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, berbaur ugutan.

Beliau berkata, kenyataan dibuatnya itu adalah secara umum dan sudah pun menubuhkan pasukan khas bagi meneliti kesalahan-kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh parti lawan.

Menurutnya, pihak yang menerima kesan dalam pilihan raya boleh mengemukakan petisyen kepada mahkamah sekiranya terdapat kesalahan pilihan raya dilakukan oleh calon.

“Tak ada ugutan, kita cuma beritahu perancangan kita, itu adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan, sesiapa yang terkesan dengan suatu keputusan pilihan raya boleh buat petisyen,” katanya kepada pemberita pada Ceramah Perdana Bersama Muhyiddin Yassin, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan PN berhasrat untuk memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya PH memenangi PRK Kuala Kubu Baharu.

Takiyuddin mendakwa, PH menyalahgunakan aset kerajaan dalam PRK Kuala Kubu Baharu.


Dalam pada itu, beliau menjelaskan tindakan tersebut bukanlah pramatang, sebaliknya sebagai persediaan ke arah tersebut dan pernah berlaku sehingga menyebabkan PRK diadakan di Kemaman dan Kuala Terengganu pada tahun lalu.

“No, kita (cuma) buat persiapan, semua kita ada, anggota kita bawa kamera dan sebagainya untuk bawa bukti ke mahkamah. Sebab ada precedent case, saya sendiri sebagai peguam bagi petisyen di Kuala Terengganu, Kemaman, keputusan dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya kerana didapati berlaku kesalahan.

“Itu terhadap program dibuat kerajaan negeri yang pada masa itu belum lagi bubar, itu pun dianggap kesalahan pilihan raya, ini pula kerajaan yang ada pada hari ini. Macam tadilah dikatakan umum rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sebagainya,” jelasnya.

Sebelum ini, PH nafi kepemimpinannya yang berdada dalam Kabinet dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menggunakan aset-aset kerajaan dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

Pengerusi Penyelarasan Gerak Kerja Jentera PRK Kuala Kubu Bharu bagi Kerajaaan Perpaduan, Steven Sim Chee Keong berkata, bagaimanapun tindakan memfailkan petisyen adalah hak mana-mana parti yang tewas. – UTUSAN

Ulasan