PRK Kuala Kubu Baharu: PN beri amaran fail petisyen PH guna aset kerajaan





PRK Kuala Kubu Baharu: PN beri amaran fail petisyen PH guna aset kerajaan
TAKIYUDDIN Hassan ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto Calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu, di Hulu Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ARIF AIMAN ASROL
Oleh ARIF AIMAN ASROL
6 Mei 2024, 8:35 pm

HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) berhasrat untuk memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa PH menyalahgunakan aset kerajaan dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

Menurutnya, bagaimanapun petisyen tersebut akan dikemukakan bergantung kepada keputusan pilihan raya pada 11 Mei ini.

“Kita sudah ada banyak (bukti) penyaluran dan penyalahgunaan jentera kerajaan dan juga pemberian (yang mana) bagi kami adalah suatu rasuah. Sekiranya, ditakdirkan PH menang, kami akan failkan petisyen. Itu (sudah pasti),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Manifesto Calon PN, Khairul Azhari Saut, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, mana-mana calon dan parti yang terkesan atau kalah daripada keputusan pilihan raya boleh mengemukakan petisyen.

Jelasnya, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau sebagai peguam telah mengendalikan petisyen melibatkan tiga Parlimen di Terengganu termasuk Kelantan dan Melaka.


“Mahkamah Pilihan Raya telah membuat ketetapan bahawa penyaluran bantuan oleh kerajaan kepada pengundi dalam kawasan pilihan raya adalah rasuah.

“Oleh sebab itu, keputusan di Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman telah dibatalkan meskipun kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab memberi bantuan berdasarkan bajet,” ujarnya. – UTUSAN

Ulasan