Ramai serbu KWSP: Apa mesej sebenarnya?





Ramai serbu KWSP: Apa mesej sebenarnya?
May 14, 2024

KUALA LUMPUR: Tular video di media sosial bahawa orang ramai membanjiri pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di setiap cawangan bagi membuat permohonan melakukan pemindahan wang daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris, berkata ramai rakyat menyerbu KWSP kerana mereka sangat memerlukan wang untuk menyara kehidupan yang kini semakin tinggi.

“Ramai yang serbu (KWSP), bangun sebelum Subuh, sanggup beratur panjang demi mengeluarkan wang sendiri dalam akaun Fleksibel di KWSP.

“Apa mesej sebenarnya? Rakyat sangat memerlukan wang kerana kemelut kehidupan, kos sara hidup yang sangat tinggi, ada yang menganggur dan komitmen tinggi demi sesuap nasi.

“Kerana itu, ramai rakyat menyerbu KWSP. Hairan juga kerajaan PMX dan barisan Kabinet kata ekonomi semakin baik, rangsangan ekonomi meningkat berganda-ganda, tetapi hakikatnya?

“Rakyat telah menghantar mesej yang jelas tetapi kerajaan PMX terus membohong, tidak mengapalah. Biar waktu dan masa menentukannya kelak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, KWSP telah memperkenalkan akaun Fleksibel bagi membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Menurut kenyataan KWSP, permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Tujuan pemberian pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel adalah bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu tanpa perlu menunggu caruman baharu.

Amaun yang akan dipindahkan adalah berdasarkan baki Akaun Sejahtera ahli semasa pilihan ini dibuat.

Kaedah pindahan dilakukan mengikut dua pecahan iaitu pertama baki ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera manakala yang kedua baki dalam akaun sama adalah kurang dari RM3,000.

Ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan bermula 12 Mei sehingga 31 Ogos 2024 dan ia hanya boleh dibuat sekali sahaja pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut serta tidak boleh dibatalkan. – HARAKAHDAILY 14/5/2024

Ulasan