Saya bimbang kesihatannya – Halim Othman dedah anak alami depresi, lebih setahun menyendiri
Oleh MOHAMMAD AL FAIZAL ABDUL KARIM
13 Mei 2024, 5:06 pm
PETALING JAYA: “Beri kami ruang untuk selesaikan.”
Demikian permintaan bekas penyampai radio tersohor, Halim Othman, 60, berkenaan pendedahan anaknya, Myra Natasya yang baru-baru mencetuskan kontroversi selepas membuat pengakuan bahawa dirinya adalah anak tak sah taraf.
Kata Halim, spekulasi yang ditimbulkan boleh bertukar parah jika terus dipanjang-panjangkan.
“Saya mohon media dan masyarakat bertenang dan beri kami ruang untuk selesaikan isu ini. Kalau boleh saya tak mahu ulas panjang kerana ia hanya akan membuatkan masalah ini berlarutan.
“Saya bimbangkan kesihatannya sebab dia sekarang alami tekanan. Dia tinggal sendiri dan hampir lebih satu tahun kami tak berjumpa. Semua mesej dan panggilan tidak berjawab. Begitu juga yang dihantar oleh ibunya.
“Saya dengan ibunya akan cari jalan selesaikan hal ini. Walaupun kami sedih dengan kenyataan yang dikeluarkannya, hujung pangkal dia tetap anak kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Halim menjadi sorotan selepas Myra membuat dakwaan dia anak tak sah taraf dan terpaksa berbohong tentang statusnya demi menjaga nama baik keluarga.
Pelakon itu juga sebelum ini mempersoalkan tindakan Halim yang didakwanya telah mengubah dan mendaftar baharu sijil kelahirannya.
Halim dalam pada itu memaklumkan sebelum ini pernah berjaya menghubungi Myra bagaimanapun perbualan mereka disambut dingin anaknya itu.
“Perbualan kami tidak berlangsung baik, ada sesuatu yang memarakkan api kemarahannya. Dari situ saya kesan sesuatu yang tak kena dengannya.
“Ibunya juga memaklumkan perkara yang sama, dia alami depresi. Kebelakangan ini banyak menyendiri jauhi keluarga.
“Saya bimbang dengan keadaannya dan saya juga risau dengan pengaruh-pengaruh tak sihat, yang mungkin mempengaruhi dia mencetuskan sensasi untuk mendapatkan perhatian orang,” kongsinya lagi
Ulasan
Catat Ulasan