Sebanyak 700 unit PPR siap tahun ini – Jafni



Sebanyak 700 unit PPR siap tahun ini – Jafni
MOHD. JAFNI Md. Shukor menjawab soalan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Oleh MOHAMED FAIZAL HASHIM
12 Mei 2024, 2:26 pm

ISKANDAR PUTERI: Pembinaan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bandar Tenggara, Kluang dan di Pengerang Kecil, Kota Tinggi melibatkan 700 unit rumah dijangka siap pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, dua PPR tersebut yang mencapai tahap kemajuan 97 dan 99 peratus dijangka memperoleh sijil penyiapan dan pematuhan (CCC), September ini.

Katanya, bagi PPR Sembrong, Kluang yang melibatkan 400 unit rumah kini berada pada tahap kemajuan 35 peratus dan dijangka siap Disember 2025.

“Bagi PPR Masai, Johor Bahru yang mempunyai 330 unit rumah berdepan kekangan setelah kontraktor asal ditamatkan kontrak.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam proses melantik kontraktor penyelamat,” katanya menjawab soalan Azizul Bachok (BN-Tiram) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Mohd. Jafni (BN-Bukit Permai) berkata, kerajaan negeri juga turut memohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan PPR di bawah Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK-12).


“Insya-Allah, Johor akan menerima dua projek PPR di Kluang dan Larkin. Dua projek baharu ini akan dilaksanakan proses kajian nilai, kajian kejuruteraan dan semakan nilai oleh pihak KPKT bagi memperincikan skop dan kos pembangunan bagi tujuan penyediaan dokumen tender pada tahun ini,” katanya.

Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) telah menghadiri sesi pembentangan bagi kajian penilaian teknikal melibatkan tapak yang dicadangkan pada Mac lalu.

Katanya, penilaian yang dilaksanakan oleh KPKT adalah berdasarkan jumlah permintaan dengan merujuk kepada golongan miskin tegar, golongan B40 dan penghuni setinggan.

“Selain itu, ketersediaan tanah turut diambil kira oleh pihak kementerian dan tapak yang disediakan oleh kerajaan negeri mestilah strategik, sesuai untuk dibangunkan tanpa sebarang halangan dan mempunyai ketersediaan kemudahan infrastruktur asas,” katanya.

Katanya, terdapat 15 PPR merangkumi 12,611 unit rumah dan tujuh projek Rumah Sewa Kerajaan (RSK) melibatkan 3,020 unit kediaman di negeri ini. – UTUSAN

Ulasan