Seleweng dana MOF RM1.2 bilion: Bekas CEO pula ditahan




Seleweng dana MOF RM1.2 bilion: Bekas CEO pula ditahan
SPRM menahan reman seorang lagi suspek bekas CEO sebuah agensi badan berkanun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana peruntukan pinjaman daripada Kementerian Kewangan di Mahkamah Majistret, Putrajaya.
Oleh Siti Maisarah Binti Sheikh Abdul Rahim
16 Mei 2024, 4:54 pm

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi suspek bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah agensi badan berkanun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana peruntukan pinjaman daripada Kementerian Kewangan bagi projek pembangunan di sekitar ibu negara yang bernilai RM 1.2 billion.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 60-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

Susulan penahanan itu, suspek dibawah ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama dua hari bermula hari ini sehingga 17 Mei terhadap suspek yang dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2021 dan menyalahgunakan dana peruntukan pinjaman.

” Ia dengan cara memindahkan sebahagian pinjaman wang yang diterima dari MOF kepada syarikat kontraktor serta perunding yang tidak berkaitan dalam kos pembangunan seperti dinyatakan dalam permohonan peruntukan pinjaman kerajaan,” katanya.

Semalam SPRM menahan reman dua orang pegawai kanan agensi badan berkanun yang sama dengan bekas CEO itu bagi kesalahan serupa.


Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Ulasan