Tebang semua pokok di tepi jalan?


Tebang semua pokok di tepi jalan?
Oleh Aznan Bakar
12 Mei 2024, 7:13 am


APA penyelesaian kepada isu pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail yang menimpa kenderaan dan menyebabkan seorang maut? Adakah kita perlu tebang semua pokok-pokok tua merimbun, yang menyediakan persekitaran hijau lagi menenangkan di bandar raya Kuala Lumpur?

Kenapa perlu tanam pokok kalau akhirnya selepas 10-20 tahun ia digondolkan dengan alasan keselamatan. Lebih baik jangan ditanam. Biar sahaja kawasan bandar kita gondol dan hanya penuh dengan hutan-hutan batu.

Semalam, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja saya ternampak kerja-kerja menebang pokok palm yang besar­nya lebih sepeluk di Presint 11, Putrajaya. Timbul pula rasa sayang, kenapa pokok yang mungkin sudah berusia lebih 20 tahun itu perlu ditebang begitu sahaja.

Kalau akhirnya mahu ditebang kenapa ia dijadikan landskap sebelum ini? Sudah berapa banyak belanja dikeluarkan untuk mena­nam, membaja dan menyelenggara pokok-pokok itu?

Sebab itu kita rakyat Malaysia tidak boleh elak untuk mengagumi Singapura. Negaranya kecil, tetapi segala-galanya dilakukan berdasarkan perancangan yang teliti dan teratur. Ini termasuk menjadikan negara pulau itu sebagai bandar dalam taman dengan pokok-pokok rimbun menyediakan suasana nyaman kepada cuaca tropikanya.

Dengan suhu purata 28° Celsius sama seperti negara kita, enam juta penduduk Singapura menanggung haba yang berterusan sepanjang tahun. Sebagai pusat kewangan terkemuka di Asia Tenggara, Singapura telah menjadi salah satu negara paling padat penduduk di dunia. Konkrit dan tarmac memerangkap haba, manakala penghawa dingin yang terdapat di 80 peratus rumah, meniup udara panas ke jalanan.


Sejak 2006, metropolis tropika itu berusaha ‘menyejukkan’ dirinya dengan menanam pokok di mana-mana ruang yang ada. Lihatlah jalan-jalan utama di negara republik itu, pokok-pokok yang merimbun menyediakan suasana nyaman dan segar. Tujuh juta pokok yang telah ditanam membantu menyejukkan udara beberapa darjah Celcius, dan kerajaan merancang untuk menanam sejuta lagi menjelang 2030.

Apabila ada pokok, sudah tentunya kejadian-kejadian pokok tumbang akan berlaku. Begitu juga dengan Singapura. Yang terbaru adalah pada 7 Mac lalu, pokok tumbang merentasi Lebuhraya Nicoll semasa hujan lebat hingga menjejaskan Taylor Swift. Tetapi ia berlaku pada kadar yang minimum kerana budaya penyelenggaraan mereka tinggi.

Begitu juga kita di Malaysia. Pokok yang subur, hijau dan rimbun adalah elemen utama untuk menyejukkan suhu panas di kawasan bandar selain menyegarkan mata memandang. Untuk mengelakkan bencana, maka penyelenggaraan berkala perlu dilakukan. Setiap projek pembinaan termasuk seperti membina laluan pejalan kaki mesti dapatkan nasihat pakar landskap.

Jangan secara sembrono memotong akar-akar pokok di kawasan pembinaan kerana ia akan menyebabkan pokok tidak stabil dan mudah tumbang.

Pihak berkuasa tempatan kita (PBT) kena usaha lebih keras mengekalkan landskap berharga ini. Jabatan landskap di setiap PBT perlu diperkasakan supaya mereka mempunyai kepasiti memastikan pokok-pokok itu terjaga dan tidak mengancam nyawa. Kenal pasti pokok-pokok yang boleh mendatangkan bahaya dari awal. Kalau boleh elakkan daripada menebang pokok, kita tentunya tidak mahu memandu di jalan-jalan di Kuala Lumpur yang togel tanpa sebatang pokok.



Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan