Tiba masanya menangkan calon Melayu pada 11 Mei
KHAIRUL AZHARI SAUT
Oleh Omar Zin
8 Mei 2024, 8:00 am
MUKADIMAH
KEKALKAN Kuala Kubu Baharu. Berulang kali mesej itu disampaikan oleh calon kerajaan perpaduan dan Pakatan Harapan (PH), PANG SOCK TAO setiap kali bertemu pengundi dan media sepanjang tempoh dua minggu berkempen.
Calon Perikatan Nasional (PN), KHAIRUL AZHARI SAUT pula membawa mesej bahawa penduduk Kuala Kubu Baharu perlu bangkit kerana percaya pengundi mahukan perubahan.
Dua mesej yang berbeza namun salah satu mesej ini akan menjadi penentu dan dipilih oleh majoriti pengundi.
Ikuti keyakinan tinggi kedua-dua calon ini kepada wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN menjelang tiga hari Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
UTUSAN: Kerusi ini tidak pernah dimenangi parti Melayu atau calon Melayu sejak 1974, adakah boleh berlaku kejutan?
KHAIRUL: Tidak ada yang mustahil. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor figura hebat di Putrajaya tumbang kepada Datuk Dr. Radzi Jidin.
Di Hulu Selangor yang ada empat kerusi iaitu satu Parlimen dan tiga DUN (Hulu Bernam, Kuala Kubu Baharu dan Batang Kali) dan PN telah menang tiga (Parlimen Hulu Selangor, DUN Hulu Bernam dan DUN Batang Kali).
Kuala Kubu Baharu pula memang mempunyai 47 peratus Melayu yang mana sebelum ini berpecah kepada PN, Barisan Nasional (BN) dan PH.
Mereka adalah majoriti dan sudah tiba masa PN mengetengahkan seorang Melayu sebagai calon.
Cina pula, ada yang masih setia dengan BN manakala masyarakat India pada masa ini adalah golongan yang sama sekali ditinggalkan oleh PH makanya ketidakpuasan hati nampak memuncak.
DAP sudah menyandang kerusi Kuala Kubu Baharu sejak 2013, mungkin sudah ada banyak pembangunan?
Apa yang mereka lakukan adalah mengharapkan rancangan pembangunan negeri sahaja. Tiada kreativiti dalam perancangan pembangunan.
Jadi, apa perancangan PN untuk membangunkan Kuala Kubu Baharu?
Pertama, Eco Tourism dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk anak-anak muda dalam eco tourism. Kuala Kubu Baharu mempunyai potensi hebat pembangunan eco tourism kerana dipenuhi alam semula jadi yang sangat menarik seperti sungai-sungai yang sangat bersih, tasik-tasik bekas lombong bijih timah yang berhampiran, jalinan jalan raya yang hebat dan ia sangat dekat dengan Lembah Klang.
Tempat peranginan Genting Highlands, satu-satunya tempat peranginan tanah tinggi bertaraf dunia yang sangat dekat tetapi hampir semua limpahan pembangunannya pergi ke Pahang.
Apa yang orang Kuala Kubu serta sekitarnya dapat? Hanyalah jalan runtuh yang mengambil masa begitu lama untuk diperbaiki.
Kedua, capaian rangkaian jalur lebar bertaraf dunia. Negeri Selangor adalah negeri maju dari 2005 tetapi capaian rangkaian jalur lebar masih lemah di sini.
Penting rangkaian ini adalah membolehkan pembangunaan penjualan oleh usahawan melalui internet, pengusaha servis dari pelbagai industri dapat mengetengahkan barangan mereka dari rumah.
Ketiga, mengembalikan polisi tiada cukai rumah kampung iaitu bebanan yang bukan-bukan kepada penduduk.
Keempat, mengembalikan semula air percuma untuk rakyat. Dengan kedudukan kewangan negeri Selangor yang sangat kukuh, kenapa inisiatif ini dihentikan?
Kelima, pengukuhan penyelenggaraan kawasan awam. Kawasan-kawasan awam yang menelan belanja berjuta-juta ringgit dibiar tanpa penyelenggaraan contohnya, padang-padang dan kawasan lapang di kawasan perumahan padat yang terbiar menjadi seperti sawah padi.
Apabila ia tidak dapat digunakan maka penduduk akan menjadi sangat stres dan wujudlah gejala yang bukan-bukan.
Keenam, memudahkan usahawan kecil dan mikro. Memperjuangkan kawasan perniagaan yang sesuai dan dimudah kebenaran terutamanya kepada peniaga mikro dan membangunkan jaringan kerjasama yang lebih meluas.
Yang terakhir, menjadikan Kuala Kuala Baharu sebagai pusat pembelajaran.
Hospital yang bakal dibangunkan kerajaan juga ditambah baik dengan kebolehan menjadi Hospital Pengajar Universiti di luar bandar.
Kita juga melobi dan mencadangkan agar dibangunkan kampus universiti awam dalam pelancongan dan hospitaliti.
Limpahan kepada ekonomi setempat sangat besar. Contohnya Bandar Dungun, Bandar Tun Razak Jengka dengan adanya UiTM (Universiti Teknologi Mara).
Adakah inisiatif-inisiatif kerajaan ketika ini mencukupi?
Kerajaan perlu mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi. Harga barangan yang menaik tidak pernah turun. Kerajaan perlu mengotakan janji seperti keperluan subsidi barangan asas kekal seperti minyak dan lain-lain.
Bantuan kewangan one-off seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar bukannya tabung baharu yang memerlukan 10 ke 15 tahun simpanan baru boleh dikeluarkan.
Apa yang dijangka terhadap pola pengundian dan keputusan PRK ini?
Tanpa adanya BN dalam pertandingan ini, undi mereka diharapkan akan dapat diberikan kepada PN manakala ketidakpuasan hati masyarakat India yang ditinggalkan PH sangat menarik untuk diusahakan sebagai referendum rakyat.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan