AGC akan tentukan nasib ibu bapa Zayn Rayyan



AGC akan tentukan nasib ibu bapa Zayn Rayyan
KEPUTUSAN sa­ma ada ibu bapa Zayn Rayyan akan didakwa atau dibebaskan akan ditentukan oleh AGC esok berdasarkan kertas siasatan yang telah dilengkapkan pihak polis.
Oleh MASZUREEN HADZMAN

12 Jun 2024, 7:50 am

PETALING JAYA: Keputusan sa­ma ada ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan didakwa atau dibebaskan akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berdasarkan kertas siasatan yang telah dilengkapkan pihak polis.

Ketika ini, ibu bapa kanak-kanak malang itu masih dalam tahanan reman polis bagi membantu siasatan kes ber­kenaan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu ditahan di Puncak Alam, Selangor pada 31 Mei lalu sebelum direman tujuh hari sehingga 7 Jun lalu.

Sebaik reman pertama mereka tamat, kedua-duanya telah disambung reman enam hari lagi dan tempoh berkenaan tamat esok (Khamis).

Kelmarin, ibu kanak-kanak itu telah dibawa ke kediaman keluarga mereka di tingkat tiga Apartment Idaman, Damansara Damai bagi proses reconstruct atau lakonan semula di lokasi kejadian.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, tindakan itu adalah prosedur operasi stan­dard (SOP) di dalam siasatan se­kiranya polis mempunyai pe­tunjuk baharu yang boleh dija­dikan ‘lead’ (sebab) kepada motif kanak-kanak itu dibunuh.


“Ia adalah proses biasa dalam siasatan sekiranya pihak pe­nyia­sat menemukan maklumat yang boleh dijadikan ‘lead’ ber­dasarkan hasil soal siasatan yang dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Setakat petang semalam, Utusan Malaysia masih menunggu pengesahan pihak polis sama ada kertas siasatan itu sudah dirujuk AGC atau dihantar semalam.

Sementara itu, peguam yang mewakili pasangan suami isteri, Fahmi Abd. Moin berkata, kertas siasatan itu perlu dilengkapkan pasukan siasatan sebelum tarikh akhir reman kedua ibu bapa kanak-kanak berkenaan tamat.

“Sekiranya bahagian pendakwaan tidak berpuas hati dengan kertas siasatan berkenaan kebiasaanya bahagian pendakwaan akan memulangkan kembali kepada pasukan penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Manakala suspek atau orang yang disyaki (OYDS) hendaklah dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menjelas lanjut, beliau berkata, sekiranya pihak pendakwaan mendapati ada bukti kukuh untuk menuduh mana-mana suspek, mereka akan dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan.

“Pertuduhan boleh dilakukan pada hari sama reman OYDS tamat atau keesokannya bergantung kepada arahan AGC,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, sehingga kini beliau masih belum dapat bertemu anak guamnya dan tidak menerima sebarang makluman daripada pegawai penyiasat.

Jelas beliau, kali terakhir beliau bertemu dengan pasangan suami isteri itu adalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya ketika permohonan sambung reman ke atas mereka pada Jumaat lalu.

“Kita ada memohon untuk bertemu anak guam tetapi tiada maklum balas daripada pegawai penyiasat mungkin mereka mahu ruang melakukan siasatan, jadi kita faham,” jelasnya.

Fahmi berkata, keadaan keluarga kedua-dua pasangan itu tidak dinafikan berada dalam tekanan namun mereka menyerahkan kepada siasatan polis.

“Tipu kalau kita kata tidak tertekan, mana ada keluarga yang tidak tertekan jika anak dan menantu mereka ditahan. Mereka sentiasa menanti siasatan yang dilakukan polis,” ujarnya.

Justeru itu, Fahmi mengingatkan kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan ini dan menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan.

“Ini kerana, pihak polis sedang berusaha keras untuk menjalankan siasatan dalam mendapatkan keadilan terhadap kematian Zayn Rayyan.

“Masyarakat perlu beri ruang kepada polis menjalankan siasatan berlandaskan proses undang-undang,” katanya.

Sabtu lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, terdapat percanggahan keterangan daripada ibu, bapa dan saksi antara sebab siasatan lanjut dilakukan polis.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan pelbagai usaha dalam lengkapkan kertas siasatan.

Ada perkara yang perlu disemak semula kerana ada perkara yang tidak selari serta konsisten daripada keterangan saksi dan sebagainya menjurus kepada tangkapan ibu bapa Zayn Rayyan.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukankan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartment Idaman Damansara Damai pada pukul 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ity dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. – UTUSAN

Ulasan