Arab Saudi keluarkan satu juta visa haji




Arab Saudi keluarkan satu juta visa haji
PENGELUARAN visa haji adalah proses terakhir selepas perkara lain seperti pengurusan kemudahan jemaah.- AGENSI
Oleh Wartawan Luar Negara
13 Jun 2024, 10:00 pm

RIYADH: Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Abdel Fattah Mashat memaklumkan sebanyak satu juta visa haji dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi sejak 9 Mei tahun ini.

Jelasnya, pengeluaran visa haji adalah proses terakhir selepas pihak berkuasa menyelesaikan perkara lain seperti penyediaan kemudahan dan perkhidmatan untuk jemaah.

Berucap di Simposium Haji, Dr Abdel Fattah berkata, kementerian menggunakan teknologi dalam melaksanakan penjadualan kumpulan jemaah, menentukan peranan dan mewujudkan komunikasi dengan pejabat jemaah haji.

Beliau berkata, Kad Nusuk merupakan perkhidmatan teknikal yang menyumbang kepada operasi mengendalikan kelompok jemaah dan menahan mereka yang melanggar peraturan.

Abdel Fattah berkata, sistem haji adalah kompleks kerana merangkumi banyak aspek seperti perundangan, keselamatan dan kesihatan.

“Tapak suci adalah bandar kosong yang berubah dalam masa 24 jam menjadi bandar yang sibuk dengan jutaan jemaah.


“Terdapat juga perubahan besar dalam budaya penganjuran haji di kementerian daripada bekerja dalam masa terhadap kepada persediaan awal sepanjang tahun,” katanya.

Tahun lalu, Kementerian Haji melancarkan piagam untuk persediaan awal sejurus tamat musim haji.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Diraja untuk Kota Mekah dan Tapak Suci, Saleh Al-Rasheed berkata, matlamat suruhanjaya itu adalah untuk menaik taraf perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah seperti jalan lingkar di Mekah yang siap bertepatan musim haji tahun ini.

Beliau berkata, sebanyak 7 bilion riyal (RM8.7 bilion) dilaburkan dalam infrastruktur dan elektrik untuk menambah baik perkhidmatan termasuk aspek keselamatan.

Menurutnya, lebih 70 juta penumpang mendapat manfaat melalui sistem pengangkutan yang dibangunkan.

Mengenai Projek Daging Korban, beliau berkata, lebih sejuta kambing biri-biri akan disembelih dan diagihkan kepada golongan miskin di lebih 27 negara.

Ulasan