Beras Putih Malaysia Madani sukar didapati di pasaran?


Beras Putih Malaysia Madani sukar didapati di pasaran?
BERAS import menenuhi rak di pasar-pasar raya manakala beras tempatan boleh dikatakan jarang ditemukan sejak setahun lalu. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh YASMIN NATASHA HAIRUL
4 Jun 2024, 8:20 am

PETALING JAYA: Isu bekalan beras putih tempatan masih belum reda biarpun kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menangani masalah tersebut.

Beberapa tinjaun yang dilakukan Utusan Malaysia sebelum ini menyaksikan masyarakat terus mengeluh apabila sukar mendapatkan bekalan beras putih tempatan dan mereka terpaksa membeli beras import yang mahal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohammad Yusrizal Yusoff berkata, penjualan Beras Putih Malaysia Madani masih belum menyeluruh menyebabkan rakyat sukar untuk membe­linya.

Katanya, beras yang berharga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) itu hanya boleh didapati menerusi program jualan Madani dan tidak dijual secara meluas di pasar raya utama.

“Isu beras putih tempatan masih belum selesai kerana rakyat masih perlu membeli beras import yang harganya tidak menentu dan semakin mahal sehingga boleh mencecah RM48 bagi kampit 10kg.

“Program jualan Madani pula tidak kerap diadakan, iaitu mungkin dua atau tiga kali sebulan, jadi susah mahu beli. Lebih baik jika beras itu dijual secara meluas di pasar raya utama di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi semalam.


Menurutnya, peluang untuk membeli beras putih Madani itu pun ‘ikut nasib’ kerana setiap kali program jualan Madani diadakan, orang ramai perlu beratur panjang dan jika bekalan masih ada, mereka dapat membe­linya.

Terdahulu, Kerajaan Perpa­duan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10kg manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa 19 Februari dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac lalu.

Selain itu, Yusrizal menyatakan pengumuman mengenai bekalan 140,000 tan metrik beras tempatan sudah berada dalam pasaran seperti yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini sebenarnya ‘masih belum dirasai pengguna’.

“Jika benar bekalan beras tempatan sudah pulih, kenapa masih ada yang mengeluh sukar untuk dapatkan beras itu? Kerajaan perlu jelaskan hal sebenar kerana rakyat bergelut dengan kenaikan kos hidup,” ujarnya. – UTUSAN

Ulasan