Bersatu serah notis pemakluman kekosongan enam kerusi Parlimen





Bersatu serah notis pemakluman kekosongan enam kerusi Parlimen
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee
Oleh FITRI NIZAM
20 Jun 2024, 3:39 pm


PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen yang terhenti keahliannya secara serta merta kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

Notis pemakluman kekosongan kerusi tersebut dibuat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan sudah pun diterima oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kesemua Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi Parlimen P.030 Jeli; P.032 Gua Musang; P.059 Bukit Gantang; P.067 Kuala Kangsar; P.095 Tanjong Karang dan P.166 Labuan tersebut telah ditandatangani olehnya selaku Ketua Whip parti.

“Semua maklum semalam suatu kes duluan iaitu kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri telah diumumkan oleh Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Seri Mohd. Amar Abdullah.

“Ia merupakan keputusan tepat mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru katanya, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.


“Hal ini juga telah diperjelaskan oleh bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun,” ujarnya.

ADVERTISING


Beliau berkata, pengesahan kekosongan luar jangka itu hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik ‘adalah muktamad dan konklusif’.

“Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari Abdul mahu memastikan badan legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu pilihan raya kecil diadakan,” katanya.

Pada 2 Jun lalu, enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ADUN yang turut digugurkan keahliannya ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.-UTUSAN

Ulasan