BERSIH tegur pemimpin guna sumber kerajaan untuk kempen
Oleh Muhammad Yusri Muzamir - Jun 12, 2024 @ 5:33pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyelar tindakan menggunakan sumber kerajaan ketika pilihan raya, sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU).
Jawatankuasa Pemandu BERSIH mendakwa, amalan tidak beretika itu masih berterusan dalam siri pilihan raya dan bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang sama rata dalam pilihan raya.
BERSIH mendakwa siri pelanggaran terhadap etika pilihan raya bersih dan adil oleh Kerajaan MADANI dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, akan menghakis keyakinan rakyat, terutama pengundi terhadap sistem pilihan raya dan proses demokrasi di negara ini.
"Sekali lagi BERSIH menegaskan supaya wujudkan garis panduan menyeluruh berkaitan etika kerajaan bukan sementara dan kerajaan sementara semasa tempoh pilihan raya yang bermula sebaik sahaja pembubaran Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) atau (berlaku) kekosongan kerusi.
DISYORKAN UNTUK ANDA
"Ia untuk dikanunkan sebagai undang-undang supaya tidak berlaku salah guna sumber kerajaan dalam sebarang pengumuman peruntukan dan dasar kerajaan yang diamanahkan rakyat. Kerajaan harus sedar, gula-gula pilihan raya seperti penyampaian peruntukan ini tidak akan menjadikannya lebih popular.
"Sebaliknya akan dilihat menggunakan apa sahaja cara, bahkan kaedah yang dulu dikecam sebagai tidak adil, hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap pilihan raya bersih dan adil," katanya dalam kenyataan hari ini.
BERSIH mengulas pengumuman peruntukan baharu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Anwar melalui Setiausaha Politiknya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, semalam dilapor menyampaikan sumbangan bernilai RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau di DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Setiap masjid dan surau menerima RM10,000 untuk digunakan sempena Hari Raya Aidiladha, Isnin ini.
Kor Ming pada hari sama juga dilapor menyampaikan cek bernilai RM17,751,284 untuk projek pembinaan balai bomba, naik taraf pasar Bukit Panchor dan sumbangan rumah ibadah bukan Islam.
BERSIH berkata, pengumuman sedemikian sudah menjadi kelaziman baharu Kerajaan MADANI apabila menjelang pilihan raya kecil, walhal isu penggunaan sumber kerajaan semasa tempoh pilihan raya sering dibantah ketika menjadi pembangkang sebelum ini.
"Umum maklum, PRK akan diadakan selepas pengumuman kekosongan kerusi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Yang Dipertua DUN.
"Justeru, menteri sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri sepatutnya mengetahui batasan peranan masing-masing dalam tempoh berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut, katanya, BERSIH menggariskan larangan 3C semasa pilihan raya iaitu tidak bersyarat, berkempen dan membawa calon, seperti digariskan sejak Pilihan Raya Negeri 2023 kepada kerajaan bukan sementara seperti kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam konteks PRK.
Ulasan
Catat Ulasan