Duit hilang dalam bank cecah RM35.01j



Duit hilang dalam bank cecah RM35.01j
RAMLI MOHAMED YOOSUF
Oleh MASZUREEN HADZMAN
20 Jun 2024, 8:05 am

PETALING JAYA : Sebanyak 485 kes kehilangan duit di dalam akaun bank telah direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kerugian RM 35.01 juta dalam tempoh tiga tahun sejak 2022 sehingga 15 Jun lalu.

Daripada jumlah itu, terdapat peningkatan jumlah kehilangan wang di dalam bank direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada enam bulan tahun ini apabila sebanyak 65 kes dilaporkan sejak Januari lalu sehingga 15 Jun lalu dengan kerugian mencecah RM25.76 juta.

Selain itu, kes tertinggi direkodkan adalah pada tahun lalu iaitu dengan 225 kes namun hanya membabitkan kerugian RM4.82 juta diikuti 2022 (195 kes dengan kerugian RM4.42 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata,pendedahan maklumat perbankan kepada pihak yang tidak dikenali, dilihat sebagai antara punca menyebabkan kes wang berkurangan daripada akaun bank berlaku.

Kata beliau, menerusi risikan dan siasatan kehilangan wang tersebut, berkemungkinan mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka seperti username dan password sama ada secara sengaja atau tanpa di­sedari.

Ramli berkata, penceroboh juga dikesan menggunakan teknik ‘phishing’ dengan memperdaya mangsa-mangsa menerusi e-mel atau sistem perkhidmatan ringkas (SMS) untuk mencuri maklumat peribadi seseorang.


“Bagi membolehkan penjenayah mendapatkan maklumat peribadi mangsa, sebuah laman perbankan internet palsu diwujudkan seolah-olah sistem itu adalah betul dan suspek kemudiannya akan memperdaya mangsa ke laman web tersebut menerusi emel yang kononnya datang dari bank beserta pautan tersembunyi yang membawa mangsa ke laman web palsu apabila diklik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, mangsa yang terpedaya akan mengisi butiran dan menghantar melalui laman web palsu menyebabkan penjenayah mendapat maklumat mereka untuk akses ke akaun perbankan internet sasarannya.

Ulasan