Faisal mahu pelaku diheret ke mahkamah



Faisal mahu pelaku diheret ke mahkamah
FAISAL Halim mengesat air mata ketika berkongsi situasi dirinya dalam sidang akhbar khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam, semalam.
Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
14 Jun 2024, 7:39 am

SHAH ALAM: Pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim mahu individu yang menyimbah asid sulfurik pekat ke badannya diheret ke muka pengadilan secepat mungkin.

Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey berkata, ia bagi membolehkan tindakan undang-undang dikenakan ke atas pelaku dalam kejadian itu di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, dekat sini pada 5 Mei lalu.

“Saya tidak mempunyai musuh dan tidak pernah bergaduh dengan sesiapa pun.

“Apa yang berlaku kepada saya adalah di luar jangkaan dan saya tidak boleh terima, malah keluarga dalam ketakutan,” katanya dalam sidang akhbar khas bagi memaklumkan perkemba­ngan dirinya di Pusat Latihan Selangor FC, di sini, semalam.

Faisal berkata, sehingga kini polis tidak memberikan sebarang maklumat lanjut berhubung siasatan kesnya itu.

Katanya, kali terakhir polis menemuinya adalah semasa merakam percakapannya pada minggu pertama beliau dimasukkan ke hospital, awal bulan lalu.


“Saya berharap polis membuat kerja dengan terbaik. Saya serah sepenuhnya (siasatan kes ini) kepada polis,” katanya.

Pada pertengahan bulan lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin berkata, polis sedang menyiasat kes jenayah membabitkan Faisal daripada pelbagai aspek.

Sehubungan itu, beliau me­minta rakyat Malaysia memberikan masa kepada pihaknya menjalankan siasatan kerana banyak perkara dalam kes tersebut yang perlu dijalankan dengan terpe­rinci.

Sementara itu, peguam yang mewakili Faisal, Mohd. Haijan Omar berkata, beliau akan me­nulis surat rasmi bagi pihak anak guamannya secepat mungkin untuk mendapatkan perkembangan terkini siasatan kes ber­kenaan.

Katanya, polis perlu memaklumkan perkembangan siasatan kes kepada pengadu selepas membuat laporan selaras dengan Seksyen 107A Kanun Prosedur Jenayah.

“Kami akan merangka (beberapa rancangan) bagi mendapatkan perkembangan lanjut berhubung kes ini.

“Kes ini sudah berlaku sebulan dan pengadu (Faisal) berhak mengetahui perkembangan kesnya,” katanya.

Namun, kata Mohd. Haijan, pihaknya menghormati siasatan yang dijalankan polis dan memberi ruang serta masa kepada mereka untuk melengkapkannya. – UTUSAN

Ulasan