Gerakan yakin pengundi tahu pilih wakil rakyat betul
PENGUNDI kini semakin matang dalam membuat pilihan wakil rakyat mereka.
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
5 Jun 2024, 7:10 am
NIBONG TEBAL: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yakin pengundi di Sungai Bakap lebih matang untuk menilai wakil rakyat daripada parti mana yang layak untuk mewakili mereka.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, selain isu-isu nasional termasuk berkaitan kegawatan ekonomi, kenaikan harga barang dan lain-lain, isu setempat terutamanya berkaitan masalah air di Sungai Bakap serta kenaikan tarif air di Pulau Pinang dan sebagainya pasti akan menjadi pertimbangan pengundi kali ini.
Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, rata-rata pengundi yang ditemuinya setakat ini termasuk pengundi Cina mengakui terkesan dengan perkara tersebut khususnya isu yang berlaku di peringkat nasional.
“Saya pasti ini akan menjadi antara faktor yang menolak mereka daripada mengundi calon PH (Pakatan Harapan) pada PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Bakap nanti.
“Kerajaan hanya pandai cakap tetapi isu yang sama terus berlaku. Saya percaya pengundi di Sungai Bakap sudah serik untuk memilih PH,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Tong Keong berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sebenarnya dekat di hati Gerakan kerana parti tersebut pernah menguasai kerusi berkenaan iaitu sebelum persempadanan semula kawasan dibuat pada 2004.
“Jadi, saya yakin pengundi-pengundi di sini termasuk pengundi bukan Melayu seperti Cina dan India juga tahu jasa kita (Gerakan) sebelum ini dan membuat keputusan yang betul dengan tidak akan memilih PH pada pilihan raya nanti,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Tong Keong berkata, Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang akan bermesyuarat sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penting sempena PRK DUN Sungai Bakap termasuk hari penamaan calon serta hari pengundian minggu depan.
“Sebagai parti komponen dalam PN, Gerakan akan menyokong dan membantu siapa sahaja calon yang diletakkan bertanding untuk kerusi berkenaan tanpa mengira kaum atau parti.
“Kalau boleh, kita mahu kekalkan kerusi ini sebagai salah satu kerusi milik PN di Pulau Pinang untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.
Kerusi DUN Sungai Bakap sebelum ini terpaksa dikosongkan ekoran kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff daripada Pas. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan