Gunung Ibu meletus lagi





Gunung Ibu meletus lagi
GAMBAR yang diambil dan dikeluarkan oleh Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG) hari ini menunjukkan Gunung Ibu mengeluarkan asap tebal di Kabupaten Halmahera Barat di Provinsi Maluku Utara, Indonesia. -AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
4 Jun 2024, 4:52 pm


JAKARTA: Gunung Ibu, sebuah gunung berapi di Indonesia sekali lagi meletus pada Selasa, memuntahkan kepulan abu tebal sehingga lima kilometer ke udara selama kira-kira dua minit.

Menurut agensi volkanologi negara itu, tiada laporan segera mengenai pemindahan penduduk.

Gunung berapi yang terletak di Pulau Halmahera itu meletus pada pukul 5.36 pagi ini, selama kira-kira dua minit, menurut pegawai PVMB, Heruningtyas Desi Purnamasari.

Susulan itu, semua aktiviti dalam jarak tujuh kilometer dari kawah turut dilarang.

“Gunung berapi baru-baru ini aktif kerana terdapat pergerakan magma yang kuat,” kata Heruningtyas sambil menambah status amaran masih berada di tahap tertinggi sejak 16 Mei.

Rakaman yang dikongsi agensi itu menunjukkan gunung berapi itu memuntahkan kepulan abu berwarna kelabu ke langit, berikutan letusan lebih kecil pada Isnin.


Ia adalah insiden terbaharu dalam siri letusan sejak Mei yang mendorong pihak berkuasa memindahkan tujuh kampung berhampiran.

Bagaimanapun, letusan pada Selasa tidak memaksa sebarang pemindahan baharu, kata agensi bencana BNPB.- REUTERS

Ulasan