Harga diesel naik: Ajar PH di Sungai Bakap





Harga diesel naik: Ajar PH di Sungai Bakap
June 12, 2024

KANGAR: Pengundi di Sungai Bakap wajar mengundi PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang sebagai satu pengajaran kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah menaikkan harga diesel.

Pengerusi PN Negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, Kerajaan PH sebelumnya berjanji untuk menurunkan harga minyak, tetapi sebaliknya yang berlaku adalah apabila harga diesel dinaikkan.

“Di kawasan tersebut, terdapat lebih kurang 40 peratus pengundi bukan Melayu dan 60 peratus Melayu. Saya berharap pengundi-pengundi ini dapat membuat pilihan yang bijak dan tepat dengan mengekalkan PN” serunya.

Mohd Shukri turut menegaskan bahawa mengekalkan PN adalah satu cara bagi memberi pengajaran kepada kerajaan yang tidak menunaikan janji mereka untuk menurunkan harga minyak.

“InsyaAllah, dengan mengekalkan PN, ia dapat memberi pengajaran kepada kerajaan yang menaikkan harga minyak sedangkan dulu janji nak turunkan harga minyak,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa kenaikan harga diesel akan menyebabkan kenaikan harga barang, sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

“Kenaikan harga diesel ini terpaksa kita terima kerana berada di bawah kerajaan sedia ada. Saya rasa kenaikan harga barang tentu akan berlaku, inilah kesan kepada rakyat,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 12/6/2024

Ulasan