Harga diesel naik: Rakyat lebih gelisah, mudarat besar



Harga diesel naik: Rakyat lebih gelisah, mudarat besar
June 12, 2024

KUANTAN: Kerajaan diseru untuk mengambil langkah-langkah lain yang tidak membebankan rakyat dalam menangani masalah penyelewengan, penyeludupan dan penjualan minyak diesel secara haram.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata kerajaan boleh mengetatkan penguatkuasaan di sempadan bagi mengawal penjualan minyak diesel di stesen-stesen minyak.

“Bagi mengatasi masalah warga asing menikmati subsidi, penguatkuasaan melalui pengenalan diri, seharusnya dilaksanakan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kerajaan Madani menyelaraskan semula subsidi bahan api tersebut dengan kadar RM3.35 seliter di Semenanjung bermula Isnin lepas.

“Apa yang kerajaan buat sekarang membuatkan rakyat lebih gelisah, mudaratnya lebih besar kepada rakyat, semuanya akan terkesan walaupun yang tidak menggunakan kenderaan minyak diesel ini.

“Mereka juga akan terkesan dengan kenaikan kos aktiviti ekonomi yang lain, pengangkutan barangan semua itu akan terjejas,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah.

Tegasnya, kerajaan tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi secara tuntas selagi tiada penguatkuasaan.

Malahan, ujar beliau ianya akan terus berlaku, mereka akan mencari jalan atau kaedah lain dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 12/6/2024

Ulasan