Ikon TMM2024: 10 sebab Fan Bingbing tak sesuai



Ikon TMM2024: 10 sebab Fan Bingbing tak sesuai
June 19, 2024


AYER KEROH: Kontroversi mengelak cukai pernah melanda Fan Bingbing yang dilantik sebagai ikon pelancongan ‘Tahun Melawat Melaka 2024’ (TMM2024) menjadi salah satu daripada 10 sebab aktres itu tidak sesuai memegang posisi tersebut.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM), Hawa Yaakub berkata, kontroversi dihadapi aktres tersebut yang berlaku di negara kelahirannya China boleh menjejaskan imej Negeri Melaka diwakilinya itu.

Untuk rekod Fan dikatakan pernah terlibat dalam skandal cukai yang besar di China di mana beliau telah didenda sebanyak ¥883 juta (USD127 juta) pada tahun 2018 kerana mengelak cukai.

“Kontroversi tersebut boleh menjejaskan imej dan reputasi Melaka sebagai destinasi pelancongan. Memberi gambaran negatif tentang pendirian kerajaan Negeri Melaka berkenaan isu pengelakan cukai.

“Ia memberi teladan yang tidak sihat kepada masyarakat, terutamanya golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi DMPNM hari ini.

Sebab kedua kata Hawa, aktres tersebut juga mempunyai pengetahuan terbatas mengenai Negeri Melaka yang boleh mengurangkan keberkesanan beliau dalam mempromosikan Melaka secara autentik dan mendalam.

Selain sebab itu tambah Hawa, pelantikan selebriti luar negara tersebut mungkin tidak mendapat sambutan positif dari masyarakat tempatan.

Masyarakat di negara ini katanya, mungkin berasa lebih baik jika duta tersebut adalah dari kalangan rakyat tempatan sendiri yang lebih memahami dan menghargai budaya serta warisan Melaka.

“Sebagai seorang selebriti yang terkenal dan sibuk, Fan Bingbing mungkin menghadapi kesukaran dalam memberi komitmen sebagai duta pelancongan.

“Ini boleh menjejaskan konsistensi dan keberkesanan sepanjang kempen promosi,” katanya, selain menyifatkan selebriti antarabangsa seperti Fan mungkin hanya mampu memberikan komitmen jangka pendek.

Sedangkan bagi beliau, promosi pelancongan yang berkesan memerlukan penglibatan jangka panjang serta adalah penting bagi memastikan kesinambungan dan impak yang berterusan.

Sebab lain yang menyebabkan Fan tidak sesuai menjadi ikon TMM2024 kata Hawa lagi, ialah berkaitan risiko terhadap reputasi destinasi.

“Walaupun Fan Bingbing adalah seorang selebriti yang terkenal, kontroversi yang pernah melanda beliau boleh membawa risiko negatif kepada reputasi Melaka.

“Pelancong dan media mungkin lebih tertarik kepada isu-isu peribadi beliau berbanding destinasi itu sendiri,” katanya.

Kata beliau lagi, Fan mungkin terlibat dalam promosi untuk destinasi atau produk lain yang boleh menimbulkan konflik kepentingan dan imej secara tidak konsisten.

“Ini boleh mengurangkan fokus dan konsistensi dalam mempromosikan Melaka secara eksklusif,” ujarnya.

Selain itu, fokus promosi mungkin lebih tertumpu kepada pasaran China yang bakal mewujudkan ketidaksesuaian dengan pasaran tempatan dan global.

“Sementara Melaka juga perlu menarik pelancong dari pasaran lain seperti dari negeri-negeri lain di Malaysia, Timur Tengah, Eropah, Amerika, dan Asia Tenggara.

“Pelantikan beliau mungkin tidak memberikan impak yang signifikan dalam pasaran tersebut,” katanya.

Sebab yang terakhir kata beliau, ialah berkaitan dengan kos yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi membayar perkhidmatan beliau sebagai ikon TMM 2024.

“Fan Bingbing pernah menjadi aktres termahal di China untuk beberapa tahun. Melantik Fan Bingbing sebagai duta pelancongan Tahun Melawat Melaka mungkin melibatkan kos yang amat tinggi.

“Memandangkan potensi beliau untuk menarik minat pelancong dari Timur Tengah, Eropah, Amerika dan Asia Tenggara adalah agak rendah, pulangan daripada pelaburan ini mungkin tidak berbaloi dengan jumlah kos yang dikeluarkan,” ujarnya.

Tegasnya, situasi itu akan merugikan rakyat Melaka yang merupakan pembayar cukai di negeri ini.

“Semua ini perlu dinilai untuk memastikan pemilihan duta yang paling sesuai dan benar-benar efektif bagi mempromosikan Melaka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

Ulasan