Jemaah haji mula bergerak ke Arafah



Jemaah haji mula bergerak ke Arafah
PARA jemaah membuat persiapan untuk bergerak ke Padang Arafah bagi melengkapkan ibadah haji tahun ini.
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
14 Jun 2024, 7:45 am

MEKAH: Sebanyak 31,600 jemaah Malaysia mula bergerak secara berperingkat ke Padang Arafah bagi melengkapkan rukun haji, selain berdepan suhu panas.

Namun, hal itu tidak menghalang mereka menyempurnakan rukun haji biarpun suhu dijangka mencecah 45 darjah Celcius.

Malah, sebahagian daripada jemaah warga emas sudah melakukan persiapan fizikal dan mental sejak beberapa hari lalu untuk melaksanakan ibadah itu.

Bagi Abdul Manaf Sharin, 67, dari Johor berkata, dia cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan kesihatan agar sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum bergerak ke Padang Arafah sejak seminggu lalu.

“Alhamdulilah saya berusaha sebaik mungkin untuk memastikan keadaan kesihatan saya berada dalam keadaan baik walaupun datang seorang diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Manaf antara sebahagian daripada lebih dua juta jemaah haji dari seluruh dunia yang mula bergerak ke Padang Arafah semalam.


Bagi Ramli Ab. Rahman 60, dia dan isteri juga sudah menyenaraikan kiriman doa daripada kenalan dan saudara mara untuk dilafazkan sepanjang berada di Padang Arafah nanti.

“Di kesempatan ini, saya juga memohon doa daripada semua ahli keluarga dan rakan yang berada di tanah air supaya amal ibadat saya bersama isteri diterima, sekali gus memperoleh haji mabrur,” ujarnya.

Ulasan