Jururawat tempatan perlu diutamakan



Jururawat tempatan perlu diutamakan
PERMINTAAN terhadap jurrawat semakin meningkat dan pemain industri diminta mengutamakan bakat tempatan untuk mengisi sebarang kekosongan perjawatan. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Oleh ARIF AIMAN ASROL
20 Jun 2024, 8:00 am


PETALING JAYA: Hospital swasta dan pihak yang terlibat dalam industri pelancongan kesihatan perlu meng­utamakan jururawat tempatan sebelum menggaji petugas dari luar negara bagi memenuhi kekosongan dan keperluan operasi mereka.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, tanggungjawab mereka adalah memastikan keutamaan kepada bakat tempatan dalam mengisi kekoso­ngan jawatan sebelum pengesyo­ran penggajian kepada rakyat asing.

Menurut pertubuhan itu, ini selari dengan syarat yang ditetapkan iaitu mana-mana ma­jikan yang ingin menggajikan pekerja asing atau pegawai da­gang hendaklah meng­iklan selama 30 hari di portal MyFutureJobs dan membuat temuduga kepada calon tempatan.

Namun, tempoh pengiklanan tersebut dipendekkan kepada 14 hari bagi memudahkan majikan.

“Sehingga 19 Jun ini, Perkeso menerima 17 permohonan pegawai dagang yang melibatkan pengiklanan bagi jawatan jururawat swasta daripada kumpulan hospital swasta dalam tempoh Januari sehingga Jun 2024.

“Jumlah kekosongan jawatan di bawah permohonan ini adalah sebanyak 304 kekosongan. Antara jawatan jururawat swasta yang diiklankan adalah termasuk jawatan Nurse Consultation Room, State Registered Nurse, Senior Staff Nurse dan Staff Nurse yang menawarkan gaji antara RM2,500 sehingga RM5,000,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.

Hospital swasta

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 220 hospital swasta di seluruh negara terus berdepan masalah kekurangan jururawat yang boleh menjejaskan operasi mereka dan industri pelanco­ngan kesihatan di negara ini.

ADVERTISING


Perkara itu diburukkan lagi apabila Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) belum meluluskan kemasukan 9,200 jururawat dari Filipina dan India.

Langkah itu bertentangan dengan keputusan Kementerian Kesihatan yang sudah meluluskan kemasukan jururawat tersebut dengan memberi pengecualian termasuk membuka kelayakan pasca asas jururawat luar negara untuk bekerja di hospital-hospital swasta.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, sehingga kini lebih 9,000 jururawat asing tidak dapat dibawa untuk mengatasi kekura­ngan yang berlaku walaupun pengecualian menggaji jururawat dari India dan Filipina yang bermula 1 Oktober 2023 itu akan tamat pada 30 September ini.

Mengulas mengenai dakwaan tersebut, Perkeso berkata, perkara tersebut tidak tepat berikutan temuduga yang dijalankan adalah hasil kerjasama pihaknya dengan majikan, namun ia perlu memberi keutamaan kepada bakat-bakat tempatan.
MyFuture Job

Katanya, Perkeso sudah menyediakan calon-calon yang bersesuaian berdasarkan tapisan yang dibuat mengikut latar belakang calon seperti memiliki pengalaman sebagai jururawat dan berdaftar di portal MyfutureJobs.

“Tiada sekatan dibuat terhadap permohonan penggajian jururawat asing tersebut malah memberikan kelulusan secara berperingkat kepada majikan dan dengan pemberian kelulusan secara berperingkat tersebut dapat memberikan peluang kepada majikan untuk merancang pengambilan dengan lebih baik serta tidak perlu membuat permohonan semula.

“Pada masa yang sama Perkeso boleh memastikan keutamaan kepada bakat tempatan diberikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pertubuhan tersebut berkata, seba­nyak 1,641 program temu duga sudah dilaksanakan dengan 16,366 berjaya mendapatkan pekerjaan daripada pelbagai industri sehingga 14 Jun lalu.

“Perkeso juga mendapati terdapat faktor-faktor yang menyumbang kepada peratusan penggajian bakat tempatan yang rendah iaitu gaji yang kurang kompetitif iaitu antara RM2,500 sehingga RM5,000,” jelasnya. – UTUSAN

Ulasan