‘Kalau betul-betul (lah) anak jantan; kalau tidak, pondan!’





‘Kalau betul-betul (lah) anak jantan; kalau tidak, pondan!’
June 19, 2024


KUALA LUMPUR: “Kalau betul-betul (lah) anak jantan. Kalau tidak, (bermakna) pondan!”

Itu cabaran Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ketika mengulas kenyataan Muhammad Fauzi berkata, kerajaan PH-BN disaran serta dicabar untuk menyahut cabaran Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang agar tidak menggunakan jentera kerajaan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap ini berlangsung.

“Sering kali kita dengar mengenai penyalahgunaan jentera-jentera kerajaan dan gula-gula politik ditabur oleh Pakatan Harapan sepanjang Pilihan Raya Kecil berlangsung demi mendapat raih pengundi.

“Perkara ini sudah kita lihat sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 6 Negeri dan sepanjang siri-siri Pilihan Raya Kecil yang berlaku dan yang paling terbaru adalah semasa PRK Kuala Kubu Baharu (KKB),” kata DPPM dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Namun menurut kenyataan itu, permainan kotor tersebut berkenaan tidak terhenti setakat PRK KKB sahaja, malah tanpa segan silu kerajaaan PH-BN menabur lagi gula-gula politik di Sungai Bakap ini apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan sumbangan sebanyak RM290,000 kepada sembilan buah masjid dan 20 buah surau di DUN Sungai Bakap pada 11 Jun yang lalu.

“Bukan itu sahaja, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming juga telah mengumumkan peruntukan hampir RM18 juta bagi melaksanakan 10 projek pembangunan infrastruktur awam di kawasan Seberang Perai selepas merasmikan projek gelanggang bola keranjang bersempena siri Jelajah Sentuhan Kasih KPKT ke Pulau Pinang di Sungai Udang pada enam hari yang lalu.

“Perkara ini amatlah tidak sihat untuk diamalkan kerana ia telah mencemarkan sistem demokrasi yang sekian lama diamalkan di negara ini.

“Jika kerajaan benar-benar mengamalkan tatakelola yang baik sahutlah cabaran Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang seperti anak jantan.

“Usahlah hanya berkokok seperti ayam, melaung-laungkan kerajaan mengamalkan tatakelola yang baik tetapi masih lagi membuat perkara yang sama.

“Rakyat hari ini tidak buta. Mereka nampak dengan mata mereka akan ‘tatakelaut’ kerajaan pada hari ini.

“Jadikan PRK Sungai Bakap ini sebagai isyarat bahawa rakyat menolak kerajaan yang korup dan mahukan kerajaan yang bersih. Sungai Bakap memilih Perikatan Nasional, teruskan legasi Abang Zam (Nor Zamri Latiff),” kata DPPM. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

Ulasan