Keahlian enam wakil rakyat Bersatu tamat serta-merta


Keahlian enam wakil rakyat Bersatu tamat serta-merta
MUHYIDDIN Yassin (tengah) dan Hamzah Zainudin (kiri) memaklumkan keahlian enam wakil rakyat terhenti serta-merta berikutan ketidakpatuhan kepada Fasal 10.4 perlembangaan Bersatu.
Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN
13 Jun 2024, 7:30 am

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan notis terhenti secara serta-merta keahlian kepada enam wakil rak­yatnya yang melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 perlembagaan parti, semalam.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu selaras dengan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang berme­syuarat pada 7 Jun lalu dan setelah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), malam kelmarin.

“Bagi kes (Ahli Parlimen Labuan) Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman pula, keahlian beliau telah terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 perlembagaan Bersatu.

“Notis terhenti secara serta-merta keahlian telah dihantar kepada beliau lebih awal iaitu pada 17 Mei 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hamzah, kesemua proses itu dilakukan dengan menepati lunas perlembagaan parti dan perundangan negara.

“Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan/atau di bawah undang-undang kerajaan negeri yang berkenaan,” katanya.


Sebelum ini, MPT Bersatu dilaporkan memuktamadkan keputusan status tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah.

Selain Suhaili ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Mohd. Azizi juga ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri.

Mereka mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang ADUN Bersatu pula mengisytiharkan soko­ngan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari, iaitu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Sementara itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, notis kekosongan kerusi tujuh wakil rakyat terbabit akan dikemukakan kepada Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bila-bila masa atau dalam masa terdekat.

Menurutnya, sebelum meng­hantar notis itu, pihaknya telah melakukan beberapa proses bagi memastikannya mengikut undang-undang parti dan Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, ia membabitkan enam kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

“Kita akan memaklumkan kepada Speaker Parlimen dan Speaker DUN Selangor serta DUN Kelantan mengenainya dalam masa terdekat, bila-bila masa, dalam beberapa tempoh hari ke depan.

“Insya-Allah (minggu ini) seberapa cepat yang boleh.

“Ia dibuat setelah kita mendapat nasihat daripada peguam dan meneliti proses undang-undang Bersatu serta undang-undang antilompat parti,” katanya da­lam sidang akhbar selepas Mesyuarat PN di sini, kelmarin. – UTUSAN

Ulasan