Kehidupan ibu bapa Zayn Rayyan berubah 180 darjah


Kehidupan ibu bapa Zayn Rayyan berubah 180 darjah
Fahmi Abd. Moin dan Mahmud Jumaat ditemui pihak media selepas pendakwaan kes ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON.
Oleh NORLIZAH ABAS dan AIMAN ALI
14 Jun 2024, 8:15 am

PETALING JAYA: Pihak pembelaan menegaskan kehidupan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin berubah 180 darjah ekoran kejadian kematian kanak-kanak autisme itu yang membawa kepada siasatan pihak polis.

Zaim Ikhwan Zahari (tertuduh pertama) dan isterinya Ismanira Abdul Manaf mengalami kemurungan teruk ketika polis memulakan siasatan bagi mencari pelaku yang terlibat dalam kes kematian anak mereka.

Kedua-dua peguam yang mewakili pasangan suami isteri itu sepakat menyatakan demikian ketika berhujah bagi memohon pengurangan wang jaminan.

Ibu bapa kanak-kanak autisme itu yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap pertuduhan mengabaikan anak mereka, tahun lalu.

Fahmi Abd. Moin yang mewakili Zaim Ikhwan berhujah, kedua-duanya terlebih dahulu memulakan pencarian menjejaki Zayn Rayyan sebelum ditemukan tidak bernyawa pada 6 Disember 2023.

“Kejadian itu mengubah 180 darjah kehidupan kedua-duanya sehinggalah mereka juga ditahan reman bagi membantu siasatan. Jika jaminan tidak dibayar, mereka akan kekal ditahan di penjara,’’ ujar Fahmi.


Sementara itu, peguam Mahmud Jumaat yang mewakili Ismanira turut mengesahkan anak guamnya juga mengalami kemurungan teruk sehingga tidak membolehkannya bekerja.

ADVERTISING


Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron meminta kepastian sama ada pengakuan peguam bahawa pasangan itu mengalami kemurungan boleh memberi kesan kepada pengakuan yang diberikannya kepada mahkamah.

Namun begitu, Fahmi menegaskan tujuan beliau membangkitkan isu berkenaan bagi menunjukkan anak guamnya bersusah payah mendapatkan kos rawatan untuk anak kedua mereka yang mengalami masalah pertuturan dan autisme yang teruk.

Dalam pada itu, ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin kini menjalani rawatan psikologi.

Peguam Mahmud Jumaat yang mewakili ibu kepada kanak-kanak itu berkata, anak guamnya dan suaminya masing-masing menjalani rawatan terbabit selepas kejadian tragis yang berlaku ke atas anak sulung mereka.

“Saya percaya depresi ini sudah berlaku sebelum (ditahan reman) lagi. Mana-mana keluarga apabila kehilangan orang tersayang sudah tentu akan mengalami depresi.

“Saya percaya dari awal kes (mereka) sudah mendapatkan rawatan. Apatah lagi mereka juga mempunyai seorang lagi anak autistik iaitu Mateen,” katanya.

Ulasan