Kekosongan DUN Nenggiri ikut undang-undang – Muhyiddin





Kekosongan DUN Nenggiri ikut undang-undang – Muhyiddin
MUHYIDDIN YASSIN
Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN
20 Jun 2024, 7:50 am

PETALING JAYA: Kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menunjukkan pindaan Perlembagaan mengenai anti-lompat parti dan notis terhenti keahlian parti secara serta-merta yang dikeluarkan kepada wakil rakyat terlibat adalah teratur dan mengikut undang-undang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Ber­­sa­­tu) itu berkata, ke­pu­tu­san Speaker DUN Ke­lantan selaras dengan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan berlaku ke­kosongan luar jangka bagi kerusi DUN yang wakil rak­yatnya telah terhenti ke­ahlian parti secara serta-merta.

“Peruntukan ini adalah selaras dengan undang-undang anti-lompat parti di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam ke­nyataan.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan, ke­rusi DUN Nenggiri kosong bermula semalam, selepas menerima notis bertulis daripada Bersatu pada 13 Jun lalu.

“DUN Kelantan menerima notis bertulis di bawah fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai Mohd. Azizi Abu Naim telah hilang keahlian Bersatu seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri.

“Menurut fasal 3 (3) undang-undang sama, Speaker hendak memastikan bahawa berlaku kekosongan luar jangka tersebut,” ujarnya.


Menurut Mohd. Amar, berdasarkan Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan.

Susulan keputusan itu, Muh­yiddin yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mohd. Amar berkata, Bersatu bersama-sama parti anggota Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada tarikh yang akan diumumkan SPR.

“InsyaAllah dengan izin Allah SWT dan dukungan rakyat, kita akan beroleh kemenangan,” katanya.

Mengulas perkara sama, Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas memberitahu, parti itu sedia berbincang dengan kepimpinan Bersatu bagi menentukan parti mana akan bertanding di PRK berkenaan.

Katanya, Pas sudah mengambil langkah perlu apabila dua Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu di Kelantan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Mohd. Azizi ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau akan bertemu dengan peguamnya hari ini untuk memohon perintah injuksi dalam tempoh 60 hari.

ADUN Nenggiri itu berkata, mengikut tafsirannya, beliau tidak pernah memohon untuk keluar daripada Bersatu terma­suk menyertai parti lain.

“Dengan demikian, saya tidak terikat dengan Akta 49 A yang baharu digubal oleh Bersatu. Saya hanya mempertahankan hak saya tidak terikat dengan 49 A.

“Bila dipecat oleh parti, saya menjadi ADUN Bebas dan tidak perlu mengosongkan kerusi (Nenggiri). Semua ini berlaku (pindaan perlembagaan) apabila saya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Mohd. Azizi memberitahu, beliau sudah menjangkakan perkara tersebut selepas tidak membalas surat supaya kembali setia kepada parti dan menarik sokongan kepada Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN

Ulasan