Kembalikan semangat Rukun Negara kepada generasi hari ini
GENERASI hari ini mesti kembali memahami, menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara seperti penduduk Malaysia sebelum ini yang mengamalkannya dengan penuh komitmen dan kesedaran. – UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Oleh Mohd Ayop Abd. Razid
12 Jun 2024, 8:22 am
RAKYAT pelbagai kaum yang hidup bersatu padu pastinya akan menghasilkan kehidupan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Ia melambangkan masyarakat memiliki akal budi yang sihat.
Akal budi yang sihat itu bermaksud sikap, tingkah laku, pemikiran, emosi dan perbuatan yang menggambarkan kejernihan dan kehalusan jiwa. Ini adalah ciri masyarakat madani atau masyarakat yang bertamadun.
Sebaliknya kehidupan masyarakat yang tidak berasaskan akal budi yang sihat akan menatijahkan anggota masyarakat yang berpecah belah dan sentiasa bergelut dengan konflik yang tidak membawa keharmonian, kebahagiaan serta kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara. Ini adalah ciri-ciri masyarakat yang rendah ketamadunan hidupnya.
Harus difahami bahawa ketamadunan sebuah negara itu bukan sahaja berkait dengan kebendaan semata-mata tetapi juga ketinggian adab, akhlak dan moral penduduk atau rakyatnya.
Dalam kehidupan yang bertamadun tinggi, perpaduan dan kesatuan masyarakatnya dapat dibentuk melalui ikatan-ikatan sosial (kenegaraan) yang dipegang bersama oleh seluruh masyarakatnya. Ikatan-ikatan kenegaraan ini dapat membentuk interaksi dan integrasi sosial yang berkesan.
Dalam konteks Malaysia, ikatan kenegaraan atau sosial yang utama terdiri daripada kontrak sosial, Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Ketiga-tiganya boleh dianggap sebagai ikatan kenegaraan bersifat makro yang menjadi tonggak ikatan lain seperti simbol yang dapat mengikat pemikiran kenegaraan yang sihat.
Antaranya bendera kebangsaan, Jalur Gemilang; lagu kebangsaan, Negaraku; Jata Negara dan bahasa kebangsaan. Semua elemen tersebut boleh dianggap sebagai simbolik interaksionisme yang dapat membina psikososial (pemikiran dan jiwa) kenegaraan yang sihat dalam kalangan rakyat.
Justeru, pemahaman dan penghayatan terhadap ikatan kenegaraan amat penting untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan sejahtera. Ia juga dapat membentuk kecintaan (patriotisme), kesetiaan, permuafakatan dan integrasi yang kuat dalam kalangan masyarakat.
Pada asasnya negara (pemerintah) mempunyai wewenang atau kuasa untuk mengadakan isbat sosial (social sanction) iaitu hukuman kepada mana-mana rakyat atau penduduknya yang tidak patuh kepada ikatan kenegaraan yang telah ditetapkan.
Saya ingin mengambil satu elemen ikatan kenegaraan yang penting iaitu Rukun Negara yang dapati semakin tidak dihiraukan oleh masyarakat kita hari ini sedangkan ia dianggap sebagai ideologi, falsafah, etika dan pendoman hidup bernegara.
Ia telah menjadi doktrin yang sangat berkesan dalam membentuk kesepaduan sosial yang dipamerkan melalui semangat kekitaan (esprit de corps) antara satu dengan lain serta kesepakatan berhubung dengan matlamat, visi, nilai dan norma yang terkandung dalam Rukun Negara.
Secara ringkasnya Rukun Negara digubal setelah berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang berpunca dari lemahnya penghayatan terhadap semangat kenegaraan serta sendi perpaduan. Kerajaan segera mengambil langkah mengawal ketenteraman awam dengan mengisytiharkan darurat.
Peristiwa hitam itu juga turut menyebabkan Parlimen digantung pada 16 Mei 1969 dan pemerintahan negara diletakkan di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang diketuai Tun Abdul Razak.
Beliau dan pemimpin pelbagai kaum lain memikirkan jalan terbaik untuk mengikat seluruh rakyat Malaysia untuk hidup bersatu padu, saling bertoleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Akhirnya, lahir satu formula bagi memulihkan perpaduan kaum yang dikenali sebagai Rukun Negara. Pada dasarnya, ideologi negara ini digubal sebagai dasar kesatuan dan perpaduan bangsa Malaysia serta menjadi pedoman bagi kegiatan hidup bermasyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.
Ia diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970. Sebaik sahaja kerajaan berparlimen berfungsi semula pada 23 Februari 1971, Rukun Negara kekal sebagai pendoman dan panduan serta menjadi tonggak segala perancangan kerajaan.
Objektif Rukun negara adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya serta pelbagai corak selain untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.
Lima prinsip Rukun Negara diangkat sebagai nilai kenegaraan yang sangat mendasar.
SEMAKIN DILUPAKAN
Sejak dilancarkan dan dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh seluruh rakyat Malaysia, Rukun Negara telah berfungsi sebagai ikatan sosial yang cukup berkesan. Ironinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu perpaduan sering menjadi persoalan dan perbahasan dalam kalangan masyarakat.
Pada hemat saya, antara puncanya disebabkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara telah dilanggar atau tidak dipedulikan lagi. Ia seolah-olah tidak lagi mampu membentuk akal budi warga Malaysia dengan nilai-nilai kenegaraan yang mulia.
Justeru, generasi hari ini mesti kembali memahami, menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara seperti mana generasi sebelum ini mengamalkannya dengan penuh komitmen dan kesedaran.
Pemimpin-pemimpin politik yang sejak kebelakangan ini suka mencetuskan isu-isu kontroversi juga wajar menunjukkan contoh teladan yang baik dalam penghayatan dan pengamalan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Sebagai pemimpin yang dapat mempengaruhi rakyat, khususnya pengikutnya , maka ‘aktor-aktor’ politik ini seharusnya tahu matlamat dan objektif yang terkandung dalam Rukun Negara.
Sebelum menyeru rakyat agar cintakan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan maka mereka sendiri sepatutnya berpegang kuat kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.
Pada hemat saya, untuk mengembalikan penghayatan Rukun Negara adalah baik sekiranya pembacaan ikrar Rukun Negara diwajibkan di majlis-majlis perhimpunan kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, di sekolah-sekolah (rendah serta menengah) dan di pusat-pusat pengajian tinggi. Inilah yang pernah dilakukan dulu sebagai usaha penghayatan terhadap Rukun Negara.
Generasi hari ini jangan abaikan kepentingan Rukun Negara. Penghayatan dan pengamalan terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara penting supaya kita dapat kembali merasakan nikmat keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat seperti mana yang diharapkan dalam objektif ideologi negara ini.-UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.
Ulasan
Catat Ulasan