Kenaikan harga diesel tiada justifikasi kukuh



Kenaikan harga diesel tiada justifikasi kukuh
June 12, 2024


ALOR SETAR: Keputusan menaikkan harga minyak diesel yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, dibuat dalam keadaan gopoh tanpa diperincikan terlebih dahulu, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.


Menurut beliau, walaupun kenaikan itu kononnya menafikan subsidi kepada golongan kaya, namun terdapat kumpulan paling miskin tidak diperincikan hingga terkecuali sebagai penerima penyasaran subsidi.

“Contohnya pesawah padi. Mereka ini dikategorikan dalam kumpulan paling miskin, tetapi mereka terpaksa berhadapan dengan kos yang tinggi apabila jentera pembajak dan penuaian tidak termasuk dalam kategori diberi penyasaran subsidi.

“Kata nak tolong orang susah (miskin), tak mau bagi subsidi kepada orang kaya, tapi orang susah pun tak termasuk dalam kumpulan akan menerima penyasaran subsidi,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Seperkara lagi tegas Sanusi, alasan kenaikan bahan api itu disebabkan berlaku penyeludupan juga tidak kukuh, sedangkan negara mempunyai unit yang ditugaskan untuk mengawal dan menjaga penyeludupan.

“Kalau RM7 bilion subsidi diesel hilang kerana diseludup, bermaksud 40,000 buah lori atau treler sehari diseludup ke luar negara melalui jalan darat atau laut.

“Kalau dah tau (tahu) sampai 40,000 treler minyak diesel diseludup, kenapa tak tahan, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) ada. UPP di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), jadi Menteri KDN buat apa?

“Ada dua jalan sahaja, laut dan darat. Org tak seludup minyak diesel guna kapal terbang, boleh disekat. Tak cukup kakitangan tambahlah kakitangan.

“Sebenarnya bukan sebab penyeludupan tetapi sebab lain. Walaupun penyeludupan itu ada tapi tidak boleh dijadikan alasan untuk kenaikan harga ini, tidak munasabah,” tegas Sanusi lagi.

Justeru, pihaknya tidak menaruh sebarang harapan kepada Kerajaan Persekutuan kerana baginya harapan beliau dan mungkin juga seluruh rakyat Malaysia hanya akan dikecewakan.

Walaupun katanya, kenaikan bahan api itu akan turut memberi kesan kepada projek kerajaan negeri yang telah dilulus serta ditandatangani kontrak sebelum ini, namun tidak dapat dielak kerana ia adalah realiti sebenar.

“Kerajaan negeri mungkinlah boleh ‘bypass’ tetapi dalam masa yang sama tak boleh elak dari realiti sebenar. Mana ada kontraktor nak rugi, projek tengah berjalan, kos meningkat.

“Mungkin depa (mereka) akan datang balik kepada kita. Ini di luar kawalan kita dan pihak mereka,” jelasnya.

Beliau turut menambah, Kerajaan Persekutuan sewajarnya meneliti setiap tindakan mahupun dasar baharu yang diambil, di mana syaratnya berupaya memberi justifikasi secara keseluruhannya.

Apabila justifikasi dipertikai dengan fakta-fakta sebaliknya, maka katanya, tindakan itu tidak akan mendapat sokongan rakyat, tetapi hal itu sudahpun berlaku.

Seperkara lagi ujarnya, belum ada sejarah dunia, tidak berlaku kenaikan harga barang apabila berlaku kenaikan harga minyak.

“Kalau Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, ada formula, sila kemukakan. Berlaku kenaikan harga minyak, tapi harga barang tak naik.

“Tetapi sebelum dia keluar formula, tambang bas persiaran dah nak naik, harga binaan pun nak naik, upah traktor pun nak naik. Jadi tiada harapan nak diharapkan,” tegasnya – HARAKAHDAILY 12/6/2024

Ulasan