Kerajaan gelojoh laksana penyasaran subsidi diesel





Kerajaan gelojoh laksana penyasaran subsidi diesel
June 13, 2024

KUALA LIPIS: Kerajaan Madani dilihat gelojoh dalam melaksanakan penyasaran subsidi diesel, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Roslan Zainal.


Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan yang diterajui Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar kembali kepada menguruskan ekonom negarai mengikut Islam rentetan polemik yang tidak pernah berkesudahan dan kesannya ditanggung rakyat.

“Kembali kepada Islam, terokai khazanah ilmu pengurusan ekonomi negara Islam dan diserasikan dengan situasi semasa. Tidak rugi kembali kepada Islam,” ujarnya.

Jelasnya, ketika rakyat masih dijerut dengan kenaikan harga beras yang terlalu tinggi, rasionalisasi tersebut dilihat sebagai satu tindakan drastik.

“Ini menggambarkan sikap gelojoh kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dan dibimbangi tindakan itu dipengaruhi oleh kartel kapitalis yang menguasai mereka,” katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan sewajarnya meneroka pendekatan lain yang tidak mendatangkan kesan berantai yang membawa kepada kenaikan kadar inflasi negara yang menjerut rakyat.

Yang Dipertua PAS Lipus itu turut menggesa kerajaan mengkaji harga diesel yang dikenakan dan menurunkan ke tahap minimum atau kekal pada kadar lama.

Harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung telah diselaras dan ditetapkan pada RM3.35 seliter berkuat kuasa tengah malam 10 Jun lalu, iaitu kenaikan sebanyak RM1.20 berbanding sebelumnya. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

Ulasan