Laungan ‘Reformasi’ dah masuk mesin basuh





Laungan ‘Reformasi’ dah masuk mesin basuh
June 19, 2024

Share

ALOR SETAR: “Kenaikan harga diesel walaupun dua kupang (20 sen) akan mengakibatkan kesan berantai dalam ekonomi negara, apatah lagi naik RM1.20”, demikian kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.



Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, kenaikan mengejut diumumkan kerajaan bermula 10 Jun tersebut telah memberi kesan sangat besar melibatkan keperluan asas dan lain-lain penyediaan rakyat.

“Contohnya, kepada pak tani (pesawah) bermula dari kos traktor, operasi dan pembajakan akan menghadapi kenaikan harga sebab jentera-jentera menggunakan minyak diesel.

“Apatah lagi kos pembajakan yang terkecuali daripada penyasaran subsidi,” kata beliau kepada Harakahdaily, ketika ditemui di Kompleks PAS Kedah, semalam.

Termasuk juga katanya, kos-kos yang melibatkan pembinaan rumah, bangunan, kuari pasir, jentera berat dan lain-lain, malah keperluan asas dan keperluan harian juga tidak terkecuali berlaku peningkatan.

“Suka tak suka rakyat terpaksa pikul semua beban masalah ekonomi dan kenaikan kos sara hidup. Kalau tengok apa berlaku ini, makna terakhirnya rakyat kena ‘bungkuih’ dengan masalah besar ini.

“Harga telur turun tiga sen tidak memberi apa-apa makna pun,” bidasnya terhadap pengumuman kerajaan yang dinanti-nantikan rakyat tetapi rupanya sekadar penurunan harga telur.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu juga berkata, penurunan harga telur langsung tidak dapat mengimbangi kenaikan harga barangan akibat kenaikan diesel, malah tidak memberi apa-apa faedah kepada rakyat.

Sementara tegasnya, perkara paling menjadi persoalan besar adalah maksud kepada laungan ‘Reformasi’ yang telah bergema sejak 20 tahun lalu.

“20 tahun lebih dok laung Reformasi, tau-tau harga minya diesel naik. Jangan nanti bila turun mai (mari) ke negeri-negeri, rakyat kata ‘mesin basuh’ (putar belit) mai dah, tara tu laaaa…, ” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

Ulasan