Lelaki, Melayu paling ramai sakit mental





Lelaki, Melayu paling ramai sakit mental
JUMLAH golo­ngan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi kategori mental menunjukkan peningkatan tinggi dengan golongan lelaki dan kaum Melayu paling ramai berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Oleh AIMAN ALI

PETALING JAYA: Jumlah golo­ngan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi kategori mental antara yang menunjukkan peningkatan tinggi.

Statistik OKU (Aktif) berdaftar mengikut jantina dalam kategori mental setakat Februari tahun ini menunjukkan, golongan lelaki merupakan penghidap OKU mental tertinggi dengan jumlah 33,602 orang manakala 22,496 bagi golo­ngan wanita menjadikan 56,098 orang secara keseluruhan.


Bagi statistik mengikut kaum bagi kategori yang sama, kaum Melayu mendahului dengan jumlah seramai 30,268 orang, diikuti kaum Cina (14,853), India (4,845), bumiputera Sabah Sarawak (3,431), lain-lain (2,517) dan Orang Asli Semenanjung (184).

Mengikut peringkat umur pula, 46 hingga 59 tahun paling ramai dalam kategori mental iaitu 20,584 orang diikuti umur 36 hingga 45 tahun (14,468), dan umur 60 tahun ke atas (12,764).
BERDAFTAR

Berdasarkan rekod Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU), setakat 31 Mei 2024, sejumlah 712,570 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Pengarah JKM, Norazman Othman berkata, pe­ningkatan pendaftaran OKU didorong oleh beberapa faktor termasuk ke­sedaran terhadap kemudahan dan keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan terhadap golongan itu.


“Peningkatan juga kerana ada individu yang baru di­sahkan oleh pakar perubatan sebagai OKU,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Katanya, pada 31 Disember 2023, pendaftaran OKU adalah seramai 691,427 orang dan meningkat sebanyak 3.06 peratus atau 21,143 orang pada 31 Mei lalu.

Daripada statistik itu, OKU kategori Pembelajaran adalah yang tertinggi iaitu seramai 274,783 orang, diikuti dengan Fizikal (240,159), Penglihatan (60,342) dan Mental (56,930).
KESUBURAN

Sementara itu, pakar perubatan kesihatan awam dan pakar epidemiologi, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, peningkatan jumlah OKU disebabkan beberapa faktor termasuk melibatkan tahap kesuburan ibu bapa dalam mendapatkan zuriat.

“Tahap kesuburan ibu bapa boleh mempengaruhi kualiti zuriat yang dilahirkan, selain kekurangan zat makanan atau gaya pemakanan yang tidak sesuai semasa kehamilan.

“Bagi OKU mental pula, ia boleh diwarisi secara genetik atau dikaitkan dengan keada­an sekeliling sehingga menyebabkan seseorang itu menjadi OKU mental,’’ katanya.

Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, selain faktor umur ibu bapa yang tua, faktor lain yang boleh menyebabkan kelahiran tidak sihat termasuk jangkitan kuman, pernah melahirkan anak tidak cukup bulan dan me­ngalami kurang berat badan yang teruk semasa hamil. – UTUSAN

Ulasan