Membaca, mengkaji asas pembangunan ilmu





Membaca, mengkaji asas pembangunan ilmu
BUDAYA membaca perlu diterapkan sejak kecil agar kanak-kanak ini apabila dewasa menjadi seorang yang mencintai ilmu.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh Mohd. Ayop Abd. Razid
4 Jun 2024, 8:00 am

USAHA untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat harus dilakukan secara berterusan dan bersungguh-sungguh. Usaha ini perlu kerana tabiat membaca belum benar-benar ‘mendarah daging’ dalam masyarakat kita.

Membaca yang dimaksudkan ialah membaca bahan-bahan berkualiti yang mampu membina pemikiran dan jiwa untuk lebih bersifat intelektual dan rasional dalam menilai sesuatu perubahan dan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat.

Melalui pembacaan sebegini juga akan mendorong kita untuk mengkaji sesuatu dengan lebih mendalam lagi.

Justeru, apa-apa jua kempen yang bertujuan menggalakkan masyarakat kita membaca merupakan satu usaha murni (mulia) yang harus disambut dan diberikan sokongan oleh seluruh masyarakat.

Demikian juga pesta-pesta buku yang diadakan pada setiap tahun di peringkat kebangsaan ataupun negeri yang bertujuan untuk menjadikan budaya membaca berkembang dalam masyarakat.

Bagi umat Islam budaya membaca amat digalakkan oleh agama suci ini. Iqra’, iaitu perintah membaca menjadi wahyu al-Quran yang awal dalam risalah kenabiaan (nubuwah) Nabi Muhammad SAW. Suruhan atau perintah membaca ini sewajarnya menjadi budaya masyarakat, malah sebagai kewajipan yang harus dilakukan kerana ia adalah satu perintah.


Banyak ayat-ayat al- Quran yang menganjurkan kita supaya membaca. Selain dalam surah al-Alaq, anjuran membaca juga terdapat dalam beberapa surah lain. Walaupun perintah membaca itu berkait terus dengan anjuran membaca al-Quran tetapi mesti difahami bahawa kitab suci itu adalah kitab yang membuka pelbagai gedung pengkajian dan pengajian pelbagai ilmu.

Justeru, maksud pembacaan itu menjadi konteks yang sangat luas untuk difahami dan dihayati oleh masyarakat kita.

Hakikatnya epistemologinya (teori/kajian tentang ilmu) segala ilmu yang bermanfaat itu bersumberkan al-Quran dan ilmu-ilmu itu menjadi bukti-bukti nyata.

Dalam al-Quran terdapat pelbagai sumber ilmu seperti Sains Ketuhanan, Sains Sosial (sosiologi, psikologi, antropologi, sejarah, ketamadunan, undang-undang, ekonomi dan akhlak), Sains Natural (astronomi, geologi, fizik, kimua, biologi, matematik, kejuruteraan, perubatan), ilmu kerohanian (psikologi, tasawuf, akhlak dan hal-hal metafizik).

Oleh itu, awal surah al-‘Alaq ditekankan persoalan membaca: ‘Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan segala-galanya’.

Budaya atau amalan membaca berupaya membentuk dan membangkitkan tradisi keilmuwan ilmiah yang menjadi lambang manusia berakal. Benarlah apa yang pernah disebut Prof. Syed Muhamamad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu bahawa proses Islamisasi di Alam Melayu ketika kedatangan Islam di Nusantara membentuk pemikiran yang lebih ilmiah dan saintifik dalam peradaban Melayu.

Perubahaan tersebut hasil daripada umat Islam ketika itu menghayati anjuran Iqra’. Malangnya, setelah beberapa abad berlalu, budaya mulia ini mula luntur kesan dari kelemahan dalaman yang berterusan hingga ke hari ini.

Budaya membaca dalam erti kata belajar dan pengkaji pelbagai bidang ilmu menjadi malap apabila dirosakkan oleh golongan pentakwil yang jahil (ta’wil al-jahilin), yang suka memalsukan (intihal al-mubtilin) dan penyimpangan yang dilakukan golongan pelampau (tahrif al-ghalin).

Menurut Muhamamad Naquib hasil dari berleluasanya aktiviti golongan terbabit menyebabkan terbantutnya kemajuan ilmu dalam dunia Islam, termasuk dunia Melayu sendiri. Hari ini kita berdepan dengan anak bangsa kita yang tidak gemarkan pengajian-pengajian ilmu yang dianggap berat seperti mempelajari ilmu-ilmu matematik sains dan teknologi yang menjadi tonggak kemajuan ketamadunan. Ini disebabkan layunya semangat membaca bahan-bahan ilmu seperti itu.

Masyarakat kita, khususnya umat Melayu-Islam harus faham bahawa agama Islam amat menghormati akal yang merupakan punca pencapaian pemahaman dan penguasaan ilmu.

Benarlah kata-kata Buya Hamka bahawa Islam itu agama ilmu dan akal. Maknanya, akal itu kurniaan Allah yang menjadi alat berfikir supaya manusia mengenal Al-Khalik (Allah SWT) dan mengenal erti dan tujuan kehidupan. Ini bermakna akal yang menjadi alat membangun ilmu akan membawa manusia mengenal Allah, membangun kehidupan kerohanian (beragama) dan kemajuan ketamadunannya.

Antara aktiviti yang dapat membangkitkan keupayaan akal aktiviti membaca dan berfikir (tafakkaru). Membaca dan berfikir tidak dapat dipisahkan kerana ia dapat mengangkat martabat akal pada kedudukan yang mulia. Oleh sebab tingginya kedudukan akal itu, maka al-Quran memerintahkan manusia membaca dan berfikir. FirmanNya yang bermaksud, “Maka berfikirlah, wahai orang-orang yang berakal budi” (Al-Hasyr: 2).



Hakikatnya ayat-ayat yang menyuruh kita membaca dan berfikir itu adalah satu perintah atau suruhan yang mesti diamalkan. Baca dan kajilah peradaban Islam yang lampau (abad ke7-15M) pasti kita akan memahami bagaimana ulama dan sarjana Islam dulu menjadikan aktiviti membaca, mengkaji, meneroka dan mengarang sebagai jalan membangun ilmu dan ketamadunan.



CONTOHI ULAMA DAHULU

Para ulama zaman kegemilangan Islam dahulu adalah orang tinggi kesolehan, kewarakan dan ketakwaannya serta istiqamah dalam memelihara amal ibadah seperti solat, zikir, membaca al-Quran dan berdoa.

Namun, dalam masa yang sama mereka sangat gigih melakukan aktiviti keilmuwan dengan membaca, mengkaji dan menulis. Mereka sangat faham bahawa umat Islam tidak boleh mencapai kejayaan hanya dengan berzikir dan beribadah semata-mata tetapi mestilah dibangunkan juga pelbagai ilmu melalui budaya membaca, mengkaji dan menulis.

Mereka berpegang kepada maksud firman Allah SWT, “Apakah mereka tidak memperhatikan segala kerajaan di langit dan bumi dan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah” (Al-A’ra).

Melalui proses membaca dan berfikir inilah mereka lahir sebagai ulul al-ilmi (orang yang berilmu), ulul al-albab (orang yang berakal), ulul al-absar (orang yang berakal tajam), ulul an-nuha (akal yang mencegah keburukan) dan zihir (akal yang mantap). Hasilnya, ramai para ulama zaman keagungan tamadun Islam adalah juga saintis dan ilmuwan sosial yang hebat.


Itulah kehebatan mereka yang harus dicontohi oleh generasi kita hari ini jika benar-benar mahukan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Hakikatnya, zaman keagungan Islam dahulu tidak berlaku pembahagian atau disintegrasi (tidak bersatu padu) antara agama dan sains (ilmu).

Segala ilmu yang mereka lahirkan adalah bersumberkan dari al-Quran kerana kitab suci itu menganjurkan umat manusia agar membangun dan mengembangkan ilmu, bukan sahaja untuk tujuan mengenal Pencipta dengan beriman dan bertakwa kepadaNya tetapi juga untuk membangun ketamadunan dunia untuk dijadikan jambatan ke akhirat.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Ulasan