Mengapa jual 30% saham MAHB kepada syarikat sokong Israel? – Dr. Mahathir




Mengapa jual 30% saham MAHB kepada syarikat sokong Israel? – Dr. Mahathir
DR. MAHATHIR MOHAMAD
Oleh Meja Berita
20 Jun 2024, 2:00 pm


Mengapa jual 30% saham MAHB kepada syarikat sokong Israel? – Dr. Mahathir

FITRI NIZAM
fitri.nizam@mediamulia.com.my

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoal tindakan kerajaan menjual 30 peratus saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Sedangkan, menurut beliau, MAHB mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta tahun lalu.

“Apabila saya dengar syarikat MAHB akan menjual sahamnya kepada firma Amerika Syarikat (AS), sangkaan saya ialah MAHB rugi.

“Sekarang saya dapat tahu bahawa MAHB untung sebanyak RM543 juta bagi tahun 2023. Tak banyak syarikat yang dapat untung seperti ini. Kenapa nak (hendak) jual 30 peratus kepada syarikat Amerika yang menyokong Israel,” soalnya melalui laman X miliknya hari ini.


Pada Mei lalu, media tempatan melaporkan, Gateway Development Alliance dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham.

Konsortium tersebut diterajui Khazanah Nasional Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Berhad (UEMG) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta dianggotai anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP).

Bagaimanapun, isu berhubung pemilikan saham membabitkan syarikat berkaitan Zionis mula timbul kerana GIP sedang dalam proses diambil alih oleh sebuah firma pelaburan gergasi Blackrock yang didakwa pro Israel.

Dr. Mahathir berkata, beliau bimbang tindakan menjual saham MAHB kepada syarikat tersebut mempunyai agenda tersendiri.

“Saya tak faham. Mungkin ada udang di sebalik batu,” soalnya.-UTUSAN

Ulasan